Anggota JKDM Kelantan memeriksa rampasan 13,350 kilogram (kg) ayam sejuk beku dipercayai diseludup dari negara jiran bernilai RM99,679.30 termasuk cukai di Kampung Pulau Tebu, Jalan Kuala Krai. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota JKDM Kelantan memeriksa rampasan 13,350 kilogram (kg) ayam sejuk beku dipercayai diseludup dari negara jiran bernilai RM99,679.30 termasuk cukai di Kampung Pulau Tebu, Jalan Kuala Krai. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Sebanyak 13,350 kilogram (kg) ayam sejuk beku dipercayai diseludup dari negara jiran bernilai RM99,679.30 termasuk cukai dirampas Jabatan Kastam Diraja Maaysia (JKDM) di Kampung Pulau Tebu, Jalan Kuala Krai di sini, semalam.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, kesemua ayam sejuk beku yang diragui status halal itu ditemui dalam dua lori yang ditinggalkan tanpa pemandu di tepi jalan.

Menurutnya, anggota JKDM membuat intipan selama dua minggu bagi mengesan kegiatan penyeludupan berkenaan selain turut mendapat maklumat sebelum melakukan serbuan terbabit.

"Modus operandi sindiket itu adalah dengan membawa ayam sejuk beku menggunakan sampan melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sebelum dibawa menggunakan kenderaan ke destinasi seterusnya.

"Mereka dipercayai menggunakan kenderaan penumpang, lori atau van bagi membawa ayam sejuk beku untuk diedarkan bukan sahaja di pasaran tempatan malah di luar Kelantan juga.

"Kesemua ayam sejuk beku berkenaan dirampas dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu di sini, hari ini.

Wan Jamal berkata, jika sabit kesalahan pelaku boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar daripada dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000.

"Pelaku juga boleh dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

"Ayam sejuk beku diklasifikasikan sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 2:36 PM