Siti Rohana Idris


“DULU dapat juga RM10 sehari, sekarang lima sen pun tak dapat walau lima jam menunggu pelanggan,” kata pengayuh beca, Mansor Saadan, 68.

Mansor, 68, dari Berek 12, Kota Bharu, sini berkata, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan yang diperoleh sebagai pengayuh beca tidak seberapa, dan keadaan mereka lebih teruk selepas penguatkuasaan perintah itu.

“Pelanggan yang menggunakan pengangkutan beca kebanyakannya peraih dan kami biasanya menunggu mereka di sekitar Pasar Siti Khadijah namun disebabkan semua tidak boleh keluar akibat PKP, kami pun turut terkesan.

“Sebelum ini, kami menunggu pelanggan bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari tapi sejak PKP, jam 10 pagi kami mula beredar kerana tiada pelanggan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mansor yang lebih 40 tahun melakukan kerja itu berkata, perkhidmatan beca sangat jarang digunakan orang ramai dan mereka terpaksa bersaing dengan pengangkutan e-hailing, kereta sewa dan prebet sapu.

Bapa kepada lapan cahaya mata itu berkata, dalam tempoh PKP, mereka mengharapkan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan atau makanan keperluan daripada beberapa pihak yang prihatin.

Pengerusi Persatuan Pengayuh Beca Kota Bharu, Che Udi Che Pa, 66 bersama Mansor Saadan 68 serta pengayuh beca yang lain kini sukar untuk mendapatkan penumpang di sekitar Pasar Siti Khadijah di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Pengerusi Persatuan Pengayuh Beca Kota Bharu, Che Udi Che Pa, 66 bersama Mansor Saadan 68 serta pengayuh beca yang lain kini sukar untuk mendapatkan penumpang di sekitar Pasar Siti Khadijah di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengayuh Beca Kota Bharu, Che Udi Che Pa, 66, berkata, majoriti pengayuh beca adalah warga emas kerana hanya itu yang mampu dilakukan berikutan tidak mempunyai kemahiran lain.

Dia sendiri yang sudah hampir 40 tahun mengayuh beca berkata, kebanyakan mereka masih meneruskan kerja itu walaupun kudrat semakin terhad.

“Dalam tempoh PKP ini, kami dibenarkan mengayuh beca namun ketiadaan pelanggan menyebabkan kami sering membuang masa kerana hasilnya tiada walaupun sudah menunggu beberapa jam.

“Saya berharap lebih ramai pihak dapat membantu kami ketika berdepan situasi sukar ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 6:02 PM