Ketam dan ikan yang dijual di sebuah pasar pagi di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Ketam dan ikan yang dijual di sebuah pasar pagi di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Harga beberapa barang keperluan harian didapati berlaku kenaikan terutama ikan, sayur dan bawang merah sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, kenaikan itu berlaku disebabkan kekurangan bekalan disebabkan kejadian banjir besar yang melanda Pahang, ketika ini.

Tinjauan di beberapa pasar pagi dan pasar raya di daerah ini hari ini, mendapati harga ikan seperti tenggiri, merah, kembung, kerisi dan selar naik antara RM2 hingga RM5 sekilogram

Manakala, ketam, sotong dan udang turut mengalami kenaikan harga, selain cili merah, sawi bunga, daun sup, kailan dan kacang panjang.

Sementara bawang merah pula dijual antara RM10 hingga RM15 sekilogram, manakala cili merah mencecah RM26 sekilogram.

Seorang peniaga ikan yang enggan dikenali berkata, kenaikan harga ikan tidak dapat dielakkan berikutan bekalan kurang dan dibeli daripada pemborong pada harga tinggi.

"Jika sebelum ini harga ikan tenggiri boleh dijual RM38 sekilogram, kini saya terpaksa menjual pada harga RM42 hingga RM44.

"Mungkin disebabkan nelayan tidak keluar ke laut kerana musim tengkujuh menyebabkan bekalan kurang," katanya.

Bagi peniaga bawang yang enggan namanya disiarkan, dia mengakui bekalan bawang merah ketika ini terhad.

Bagaimanapun, dia masih menjual pada harga RM10 sekilogram kerana tidak mahu membebankan pengguna terutama dari kawasan luar bandar.

"Tapi, saya akui ada peniaga yang menjual bawang pada harga antara RM13 hingga RM15 sekilogram termasuk di pasar raya disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 4:51 PM