Antara bakal jemaah haji yang berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan untuk Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan anjuran Tabung Haji (TH) selama dua hari bermula hari ini. FOTO BERNAMA
Antara bakal jemaah haji yang berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan untuk Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan anjuran Tabung Haji (TH) selama dua hari bermula hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: "Syukur ibu, bapa mula menabung dalam akaun Tabung Haji (TH) sejak saya kecil," kata bakal jemaah haji, Nurul Atikah Abdul Rashid.

Nurul Atikah, 34, berkata, berkat simpanan berkenaan, dia terpilih untuk menunaikan ibadah di tempat paling suci buat umat Islam itu pada tahun ini.

Menurutnya, dia juga mengikut jejak langkah ibu bapanya dan sudah mula menabung buat anak-anak yang masih kecil supaya mereka juga berkesempatan menunaikan haji.

"Saya tak sabar untuk ke sana bagi merasai ketenangan beribadah di tanah suci Makkah, saya mahu merasai suasana beribadah tanpa memikirkan perihal duniawi.

"Saya berharap dapat merasai kemanisan ibadah dengan sepenuh hati di sana nanti jika diizinkan, insya-Allah," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada Kursus Perdana Haji di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, semua persiapan diri sudah disiapkan, namun yang lebih utama adalah mempersiapkan anak-anak untuk berjauhan dengan ibu mereka.

Peguam syarie itu berkata, dia berterima kasih kepada suaminya yang juga seorang penjawat awam berusia 33 tahun kerana memberi peluang kepada dirinya untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sementara itu, seorang lagi bakal jemaah haji, Roslina Abdul Latiff berkata, masalah kesihatan yang dialami tidak mematahkan semangatnya untuk menunaikan ibadah haji walaupun terpaksa berkerusi roda.

Katanya, dia terpaksa menggunakan kerusi roda bukan kerana tidak boleh berjalan tetapi disebabkan masalah vertigo yang dihadapinya yang mana pesakit merasakan sensasi seperti persekitarannya berpusing-pusing.

"Kita pergi dengan tujuan untuk sembah sujud kepada Allah SWT, untuk merindui-Nya, jadi saya percaya kepada Allah.

"Saya mempunyai masalah vertigo yang teruk, ia memang satu cabaran tetapi saya serah kepada Allah SWT, kerana yang mencipta kita, yang memberi penyakit, dan menyembuhkan adalah Allah SWT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 8:42 AM