MOHD Azizi Abu Naim. FOTO arkib NSTP
MOHD Azizi Abu Naim. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim mengulangi pendirian untuk terus kekal menyokong pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, beliau tidak terkesan dengan keputusan yang dibuat oleh Bersatu menerusi perhimpunan agung khas malam tadi kerana itu hak parti.

Malah katanya, sekiranya pindaan Perkara 10 perlembagaan parti itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), beliau akan mencabar perkara itu di mahkamah.

"Namun pada pengamatan saya keputusan yang dibuat oleh Bersatu itu membabitkan undang-undang besar dan perlu dirujuk ke mahkamah.

"Sekiranya ianya diluluskan oleh ROS, saya sendiri akan mencabar perkara itu di mahkamah.

"Apapun pendirian saya tetap sama akan terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya hanya sokong, bukannya saya lompat parti dan apa yang saya lakukan demi pengundi saya di Gua Musang," katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, Azizi turut menyifatkan tindakan yang dilakukan Bersatu malam tadi sekadar mahu mengugut Ahli Parlimen parti yang lain supaya tidak berbuat tindakan sama iaitu menyokong Perdana Menteri.

"Sebenarnya ramai lagi Ahli Parlimen Bersatu yang sedang tunggu giliran untuk mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mereka hanya menunggu masa yang sesuai.

"Malah, perkara ini juga sudah diketahui oleh kepimpinan Bersatu menyebabkan pindaan perkara 10 dibuat malam tadi kerana bimbang lebih ramai yang berbuat sedemikian," katanya.

Justeru, beliau akan mengikut perkembangan pindaan berkenaan dan yakin perkara itu juga mengambil masa sebelum keputusan dibuat oleh ROS.

Terdahulu media melaporkan, Bersatu akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan untuk meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasssin berkata, jika enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa, yang mana kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 12:35 PM