Gambar fail, Dewan Undangan Negeri Sarawak. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, Dewan Undangan Negeri Sarawak. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2020, bagi meminda syarat kelayakan umur menjadi wakil rakyat dan memperjelas takrifan 'penduduk negeri'.

Pindaan RUU yang dibentangkan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah itu diluluskan Speaker DUN, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar selepas mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Hanya sembilan wakil pembangkang membantah pindaan RUU itu khususnya untuk mengubah takrifan 'penduduk negeri' dalam Perkara 16 Klausa 2 (1) (c) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, ketika membentangkan RUU berkata, pindaan itu akan menjelaskan sebarang kekeliruan berhubung definisi 'penduduk negeri'.

"Pindaan RUU ini adalah manifestasi bahawa kerajaan negeri mengutamakan kepentingan rakyat Sarawak dan akan terus melindungi hak serta kepentingan negeri ini dengan tidak akan membiarkan orang bukan Sarawak campur tangan dalam urusan politik kita.

"Ia juga untuk menghalang individu luar daripada memasukkan budaya politik yang memudaratkan keamanan, perpaduan dan kemakmuran negeri Sarawak," katanya.

Abdul Karim berkata, definasi 'penduduk negeri' ketika ini tidak ditentukan sama ada dalam Jadual Lapan Perlembagaan Persekutuan atau dalam Perlembagaan Negeri Sarawak.

Justeru katanya, pindaan RUU itu adalah bagi menetapkan hanya dua kategori individu yang akan memenuhi syarat sebagai 'penduduk negeri'.

Mereka adalah warganegara yang dilahirkan di Sarawak yang ibu bapa atau salah seorang daripada mereka juga dilahirkan di negeri ini dan dia tinggal di negeri ini.

Syarat kedua pula ialah warga negara yang tidak dilahirkan di Sarawak tetapi ibu bapa atau salah seorang daripada mereka dilahirkan di negeri dan dia tinggal di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 4:14 PM