KAWAH Gunung Ruang yang mengeluarkan asap pada Khamis. FOTO AFP
KAWAH Gunung Ruang yang mengeluarkan asap pada Khamis. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Lapangan terbang antarabangsa Indonesia yang terdekat dengan Gunung Ruang, Sulawesi Utara, diarahkan ditutup selama 24 jam akibat abu gunung berapi, kata Kementerian Pengangkutan pada Khamis.

Gunung Ruang meletus lima kali dengan kali pertama pada petang Selasa, menghantar awan abu lebih satu kilometer ke langit.

Pegawai menaikkan tahap amarannya ke tahap tertinggi dalam sistem empat peringkat dan memberi amaran serpihan yang jatuh boleh menyebabkan tsunami, selepas empat lagi letusan pada Rabu.

Sehubungan itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di bandar Manado, yang terletak lebih 100 kilometer dari Gunung Ruang, terpaksa ditutup sehingga petang Khamis.

Ia ditutup "kerana penyebaran abu gunung berapi yang boleh membahayakan keselamatan penerbangan," kata Ambar Suryoko, ketua pejabat pihak berkuasa lapangan terbang wilayah Manado, dalam satu kenyataan.

Lapangan terbang ini menjadi 'tuan rumah' kepada syarikat penerbangan yang terbang ke Singapura serta bandar-bandar di Korea Selatan dan China.

Penutupannya bermula 7.26 malam, Rabu, dan akan berterusan sehingga petang Khamis, kata kenyataan kementerian pengangkutan.

Seorang pegawai di lapangan terbang itu turut mengesahkan penutupan itu kepada AFP.

"Semua penerbangan... terjejas kerana lapangan terbang Sam Ratulangi terjejas oleh letusan Gunung Ruang, abu gunung berapi," kata Dimas, seorang pegawai lapangan terbang itu melalui telefon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 2:06 PM