Tertuduh Fung Kim Loong, 42 (kiri) dan Sirman Abdullah, 32, (kanan) dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Nstp / Abdul Rahemang Taiming.
Tertuduh Fung Kim Loong, 42 (kiri) dan Sirman Abdullah, 32, (kanan) dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Nstp / Abdul Rahemang Taiming.
Oleh Abdul Rahemang


Tawau: Mahkamah Tinggi Tawau, di sini, tadi, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua lelaki selepas didapati bersalah mengedar dadah methamphetamine seberat lebih 4 kilogram dua tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh, Fung Kim Loong, 42, dan Sirman Abdullah, 32, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Hukuman itu diputuskan Duncan selepas pihak pendakwaan di akhir kesnya berjaya membuktikan kes prima facie dan mengarahkan kedua-dua tertuduh untuk membela diri.

"Selepas mendengar hujahan kedua-pihak, mahkamah mendapati hujahan serta rentetan cerita pihak pembelaan gagal mematahkan kes prima facie pihak pendakwaan dan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

"Mahkamah juga mendapati rentetan cerita pihak pembelaan hanya rekaan semata-mata bagi menafikan pembabitan kedua-dua tertuduh terhadap pengendalian dadah itu," katanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 4091.7 gram di sekitar Lorong 5C 1/1, Bandar Sri Indah Tawau, kira-kira jam 3.55 petang pada 14 Jun 2022.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dijatuhi hukuman mati, dihukum tidak kurang 15 sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 2:34 PM