RODERICK Raymond Wan dijatuhi hukuman penjara 60 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
RODERICK Raymond Wan dijatuhi hukuman penjara 60 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 24 sebatan ke atas seorang pemuda atas dua pertuduhan mengedar lebih empat kilogram dadah jenis methamphetamine, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu terhadap Roderick Raymond Wan, 22, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun bagi setiap pertuduhan yang dijalankan secara serentak manakala hukuman 24 sebatan berjalan berasingan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 25 Mei 2022.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Sarawak itu, didapati mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine masing-masing seberat 1330.9 gram dan dadah jenis sama seberat 3337.2 gram.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berasingan iaitu di hadapan premis di Jalan Stephen Tan dan di bilik sewa sebuah bangunan di Jalan Sedco Light Industrial, Batu 3 Jalan Apas, dekat sini, antara jam lebih kurang 2.10 petang hingga 3.40 petang pada 25 Mei 2022.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan bersama bungkusan plastik teh cina yang disembunyikan dalam peti alat pembesar suara.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, dan hendaklah jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum dengan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana bersama Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain manakala tertuduh diwakili peguam Jhassery P Kang dan Jhasseny P. Kang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 1:46 PM