Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Ahli perniagaan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine, tiga tahun lalu.

Hakim Dr Lim Hock Leng menjatuhi hukuman itu ke atas Iun Chung Peng, 35, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 3,404.2 gram di Balai Polis Lapangan Terbang Tawau, kira-kira 3.45 petang pada 24 Jun 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran, manakala tertuduh diwakili peguam Goldam Hamid.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 24 Oktober 2021 itu, pihak pendakwaan memanggil seramai lima saksi manakala pihak pembelaan hanya menampilkan tertuduh sebagai saksi.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang baru tiba di Lapangan Terbang Tawau dari Kuala Lumpur ditahan sepasukan anggota polis sebaik mengambil sebuah bagasi berwarna perak sebelum menuju ke pintu keluar.

Pemeriksaan lanjut mendapati beg itu mengandungi lima bungkus "BigBang Grilled Seaweed" yang digunakan untuk membungkus bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 2:40 PM
LUN Chung dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah atas kesalahan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat seberat 3404.2 gram tiga tahun lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
LUN Chung dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah atas kesalahan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat seberat 3404.2 gram tiga tahun lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming