GAMBAR fail. FOTO Aizuddin Saad
GAMBAR fail. FOTO Aizuddin Saad
Ercy Gracella Ajos

Kuala Lumpur: Hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang diramal melanda Putrajaya dan Labuan selain lapan negeri termasuk Sabah dan Sarawak sehingga jam 9 malam ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Katanya, cuaca itu di Kedah diramal melanda kawasan Padang Terap, Kuala Muda, Sik dan Baling; Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak); serta Kuala Krai di Kelantan.

Selain itu, katanya di Terengganu, cuaca sama diramal melanda Besut, Setiu dan Hulu Terengganu; Selangor (Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang); dan Negeri Sembilan iaitu Jelebu dan Seremban.

"Di Sarawak pula, hujan lebat diramal membadai Samarahan (Simunjan), Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu (Tatau dan Sebauh), Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang manakala Sabah membabitkan kawasan pedalaman iaitu Sipitang, Tenom, Beaufort, Nabawan dan Keningau selain Labuan.

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) bagi setiap jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.

Orang ramai dinasihati untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 6:39 PM