FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Luruan monsun yang berlaku di rantau negara dijangka berlaku hingga 26 Januari ini berdasarkan analisis model cuaca.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan itu berpotensi menghasilkan hujan berterusan di timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, METMalaysia sudah mengemaskini Amaran Hujan Berterusan di kawasan berkenaan berkuatkuasa sehingga 25 Januari ini.

"Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang juga dijangka berlaku di pedalaman dan barat Semenanjung, tengah Sarawak serta pedalaman Sabah pada sebelah petang dan malam dalam tempoh ramalan.

"Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 25 Januari ini," katanya.

Justeru katanya, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Dalam pada itu, METMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sehingga jam 6 petang ini.

Katanya, ramalan cuaca itu dijangka berlaku di Kedah membabitkan kawasan Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu dan Pulau Pinang.

"Di Perak ia membabitkan Hulu Perak dan Muallim; Pahang (Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera) dan Selangor (Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat dan Sepang), Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Selain itu cuaca sama turut dijangka berlaku di Negeri Sembilan, Melaka, Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian) dan Sarawak pula di Betong (Pusa, Saratok dan Kabong), Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu dan Miri (Subis dan Miri).

"Manakala di Sabah ia membabitkan Pedalaman (Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan selain turut membabitkan Labuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 4:33 PM