Bung Mokhtar.
Bung Mokhtar.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menyokong ikrar afidavit yang dikemukakan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Beliau berkata, Umno Sabah juga turut menyokong penuh tindakan yang dilakukan oleh Ahmad Zahid Hamidi biarpun ia berkemungkinan bakal mengundang risiko.

"Berkaitan isu afidavit yang dikemukakan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berhubung pembebasan dan menghabiskan tahanan penjara Najib di rumah, Umno Sabah melihat ada kewajarannya.

"Ini kerana Seri Paduka Baginda Sultan Pahang ketika itu menjadi yang di-Pertuan Agong sudah mengeluarkan titah dan arahan berkenaan, jadi sudah tentu arahan - arahan itu penting dan boleh diguna pakai.

"Jadi buat masa ini kita tunggu perkembangan seterusnya daripada pihak mahkamah mungkin akan memanggil saksi," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Umno Bahagian Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Katanya usaha ikrar afidavit itu adalah satu usaha yang murni sejak dari dulu lagi dan beliau percaya ia berusaha untuk membantu meringankan hukuman ke atas Najib.

"Namun afidavit yang dikemukakan oleh beliau (Zahid) sudah pasti merisikokan kedudukan beliau sendiri, tapi saya melihat ianya satu perjuangan dan pengorbanan yang tinggi dilakukan oleh Ahmad Zahid.

"Oleh itu saya mengajak seluruh ahli Umno bersama dengan menyokong dan bersyukur dengan tindakan itu, pada masa sama kita tidak akan berhenti berusaha.

"Saya juga difahamkan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan menambah baik afidavit itu untuk diguna pakai di mahkamah nanti.

"Insya-Allah akan ada tindakan daripada Umno sendiri melakukan yang terbaik demi keadilan sebaik-baiknya kepada bekas perdana menteri itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 2:23 PM