Tengku Zafrul.
Tengku Zafrul.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memohon kebenaran untuk memfailkan afidavit bagi memperbetulkan fakta tidak tepat dalam afidavit Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Permohonan itu dibuat firma guaman, Cecil Abraham & Partners mewakili Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerusi surat bertarikh hari ini yang dihantar kepada Umi Salamah Mohamad yang juga Setiausaha kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh.

Surat itu menyatakan bahawa afidavit yang diikrarkan itu untuk menangani secara khusus pengataan yang terkandung dalam Afidavit Tambahan No 3 itu yang diikrarkan Timbalan Perdana Menteri berkenaan pada 9 April lalu.

"Memandangkan terdapat ketidaktepatan fakta yang perlu diperbetulkan menurut bidang kuasa sedia ada mahkamah ini menurut Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

"Untuk rekod, kami juga selanjutnya diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan bahawa anak guam kami tidak mengambil pendirian dalam merit pertikaian antara pihak-pihak.

"Anak guam kami hanya ingin memastikan fakta-fakta dikemukakan dengan tepat di hadapan mahkamah ini secara neutral," katanya.

Sebelum ini dalam kenyataan yang disiarkan di Facebooknya, Tengku Zafrul memaklumkan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi memfailkan afidavit membetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit difailkan Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum itu.

Terdahulu, menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 oleh Tengku Zafrul, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO itu di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Titah Adendum itu supaya Najib yang juga bekas Perdana Menteri menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, Tengku Zafrul menunjukkan kepadanya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya, yang diambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 2:37 PM