TENGKU Zafrul, gambar fail. FOTO  NSTP
TENGKU Zafrul, gambar fail. FOTO NSTP
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavitnya bagi membetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit berkenaan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, beliau juga akan mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut katanya, tindakan itu dibuat adalah bagi memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai semua fakta material dengan sewajarnya.

"Saya ingin menyatakan secara rasmi bahawa pada hari ini saya sudah melihat Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 9 April 2024 dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Prosiding Semakan Kehakiman No. WA-25-136-04/2024.

"Sehubungan itu, saya mengambil langkah untuk mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai dan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavit saya untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit berkenaan.

"Pendirian saya bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung. Saya hanya ingin memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya," katanya melalui media sosial, di sini.

Pada masa sama Tengku Zafrul berkata, langkah dibuatnya itu akan membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terbabit.

Terdahulu, Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, Tengku Zafrul menunjukkan kepadanya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang diambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 6:21 PM