KON Yeow (dua dari kanan) mendengar penjelasan dari  Pengarah Projek Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu  ke Ayer Itam, Ir Nasfiza Mokhtar (dua dari kiri). FOTO Mikail Ong
KON Yeow (dua dari kanan) mendengar penjelasan dari Pengarah Projek Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam, Ir Nasfiza Mokhtar (dua dari kiri). FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini memohon maaf kepada penduduk Kondominium Jay Series yang terjejas akibat kerja peletupan batu terkawal bagi pelaksanaan projek lebuh raya Jalan Pintasan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam di sini, semalam.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi menyifatkan insiden merosakkan beberapa kereta, bumbung tempat rehat selain mengenai kolam renang di premis terbabit tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

"Saya mendapati kerja letupan ini sudah dilakukan lebih 600 kali tapi saya tidak kata oh nasib baik cuma berlaku sekali kerana walau sekalipun sepatutnya tidak dibenarkan.

"Kita mohon maaf kepada penduduk-penduduk berdekatan yang mengalami kerosakan (kenderaan serta fasiliti) dan pihak kontraktor akan bertanggungjawab untuk memulihkan kerosakan berkenaan," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, beliau difahamkan kerja peletupan terkawal itu dijangka berbaki kira-kira 200 kali lagi dan beliau berharap kontraktor serta pasukan projek akan sentiasa meningkatkan tahap keselamatan di tapak projek berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) Datuk Seri Farizan Darus, berkata insiden bongkah tanah 'berterbangan' berlaku pada 11 pagi dengan dengan anggaran kerosakan fasiliti terbabit dianggar kurang daripada RM20,000.

Beliau berkata, proses peletupan batu terkawal yang dijalankan di kawasan cerun projek dinamakan CH1875 itu adalah antara skop kerja utama Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam yang dimulakan sejak Januari 2022 dan dijangka siap pada 2025.

Menurutnya, kontraktor dilantik mengambil tindakan pembaikan kesan kerosakan disebabkan jatuhan bongkah tanah yang antaranya membabitkan saiz sebesar bola takraw selain pengesanan pemilik kereta terbabit masih dalam tindakan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 3:27 PM