Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Pulau Pinang merekodkan 10 kes Covid-19 membabitkan varian Omicron setakat semalam, bagaimanapun sebahagian daripada pesakit sudah pulih selepas mendapatkan rawatan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kini sedang memantau situasi semasa berhubung varian itu dan sentiasa bersiap siaga.

"Semua kes yang direkodkan ini membabitkan kategori satu dan dua yang sebahagiannya sudah discaj dari wad.

"Semua kes ini tidak membabitkan komuniti yang mana ia adalah kes import membabitkan individu baharu pulang dari umrah dan juga ada dari Dubai.

"Dalam pada itu, tiada kes kontak rapat membabitkan varian Omicron dilaporkan. Jadi melihat kepada situasi ini keadaan di Pulau Pinang masih lagi terkawal," katanya selepas mengadakan kunjungan sempena Tahun Baharu Cina di Pejabat New Straits Times Press (NSTP) di sini, hari ini.

Kehadiran Kon Yeow disambut warga kerja NSTP diketuai Pengurus Besar Pemasaran, Komunikasi Korporat dan Sokongan Jualan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, program vaksinasi dos penggalak di Pulau Pinang kini mendapat sambutan apabila 36 peratus iaitu lebih 500,000 rakyat sudah mendapatkan suntikan di fasiliti yang disediakan.

CHOW Kon Yeow ditemui ketika hadir mengadakan kunjungan sempena Tahun Baru Cina di Pejabat New Straits Times Press (NSTP). FOTO Mikail Ong
CHOW Kon Yeow ditemui ketika hadir mengadakan kunjungan sempena Tahun Baru Cina di Pejabat New Straits Times Press (NSTP). FOTO Mikail Ong

"Buat masa ini pusat pemberian vaksin dos penggalak membabitkan klinik dan hospital swasta serta PPV Offsite mencukupi dan tiada lagi keperluan untuk mewujudkan PPV mega.

"Saya berharap kadar suntikan dos penggalak dapat dipercepatkan supaya rakyat lebih dilindungi dan selamat yang mana setakat ini kadar pemberian suntikan penggalak sehari adalah 18,000 dos ," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow menyeru delegasi pelaburan kerajaan negeri ke Dubai berjalan lancar dan mematuhi semua protokol atau arahan yang ditetapkan.

"Kita mendoakan misi ini selamat dan mereka kembali ke tanah air dengan selamat serta menjalani kuarantin sebelum melaksanakan tugasan yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 4:15 PM