GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Tawau: Tujuh blok rumah pekerja kilang papan yang mempunyai keseluruhan 130 pintu musnah dalam kebakaran di Jalan Brantian, Kalabakan awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.44 pagi.

Menurut beliau sepasukan lapan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 67 kilometer.

"Sebaik tiba pihaknya mendapati kebakaran membabitkan enam blok rumah pekerja dengan setiap satu blok 20 pintu serta satu blok rumah pekerja dengan 10 pintu terbakar sepenuhnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata operasi memadam kebakaran turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Felda Umas

"Api berjaya dikawal pada pukul 6 pagi, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya 6.57 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terbabit," katanya.

Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 1:43 PM