KEBAKARAN berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Abdul Rahemang Taiming

ENAM blok rumah pekerja ladang yang mempunyai 120 pintu musnah dalam kebakaran di Kampung Bertitian Poris, di Tawau, semalam.

Ketua Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulbada Alior berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.54 petang.

Menurutnya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian

“Sebaik tiba, didapati kebakaran sedang berlaku membabitkan enam blok rumah pekerja dengan setiap satu blok 20 pintu, terbakar sepenuhnya.

“Lima blok struktur papan terbabit dihuni pekerja ladang di situ, manakala sebuah lagi adalah blok yang baharu dibina turut musnah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi memadam kebakaran turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Umas dan PBS Kalabakan.

“Api berjaya dikawal pada 6.39 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya 8.10 malam. Tiada mangsa dilaporkan terbabit.

“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 8:48 AM