NOR Paezah (tengah) pengsan dan terpaksa diusung orang ramai sebaik melihat rumahnya terbakar manakala Megat Khairil Idlan melecur kedua-dua tapak kaki. FOTO Ihsan bomba dan pembaca
NOR Paezah (tengah) pengsan dan terpaksa diusung orang ramai sebaik melihat rumahnya terbakar manakala Megat Khairil Idlan melecur kedua-dua tapak kaki. FOTO Ihsan bomba dan pembaca
Muhamad Lokman Khairi


Parit: Wanita warga emas pengsan dan terpaksa diusung orang ramai sebaik melihat rumahnya di Jalan Masjid As Saadah Kampung Tua, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Nor Paezah Abdullah, 63, berkata ketika kejadian dia menghadiri majlis pertunangan anak saudara berhampiran kediamannya.

Katanya, dia kemudian dimaklumkan oleh jiran rumahnya terbakar sebelum bergegas pulang.

Ibu tunggal itu bagaimanapun enggan ditemubual lebih lanjut kerana masih terkejut dan trauma mengenangkan kehilangan harta benda peninggalan arwah suaminya sekelip mata.

Sementara itu, anak Nor Paezah, Megat Khairil Idlan Megat Abu Shahuddin, 35, berkata ketika kejadian dia sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat.

"Saya ke dapur untuk minum air, apabila melangkah ke bahagian tengah rumah saya nampak api sudah marak antara ruang tamu dengan dapur dan menyambar kain serta langsir.

"Saya cuba padamkan api sambil menjerit meminta tolong, tapi keadaan semakin teruk dan saya tiada pilihan selain berlari keluar melalui pintu belakang bagi menyelamatkan diri.

"Semasa mak sampai di depan rumah, dia terjatuh dan pengsan beberapa kali. Saya bimbangkan kesihatannya kerana dia ada darah tinggi," katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Akibat kejadian itu, anak kedua daripada tujuh beradik itu melecur di kedua-dua kaki kerana memijak lantai yang panas semasa cuba memadamkan kebakaran.

Komander operasi merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.44 tengah hari sebelum menggerakkan jentera dan lapan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya turut mendapat bantuan lima anggota bomba dari BBP Parit.

"Kebakaran menyebabkan rumah mangsa musnah 85 peratus dan empat motosikal turut musnah.

"Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa melecur di tapak kaki dan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke klinik oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk tindakan selanjutnya.

"Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi ditamatkan jam 3.45 petang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Khairudin berkata pihak pejabatnya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal akan membantu dari sudut kebajikan ahli keluarga itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 7:11 PM