Rumah mangsa musnah dalam kebakaran pagi tadi. (Gambar kecil) Jaafar menunjukkan lengan kanannya yang melecur. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Rumah mangsa musnah dalam kebakaran pagi tadi. (Gambar kecil) Jaafar menunjukkan lengan kanannya yang melecur. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkifli


“SAYA cuba memadam api yang merebak dengan air tetapi gagal. Saya juga melecur terkena bahang api,” kata Jaafar Abu Bakar, 64, selepas kediamannya musnah dalam kebakaran di Batu 2 Jalan Kuala Kedah, Alor Setar hari ini.

Dalam kejadian 10.20 pagi itu, Jaafar berjaya menyelamatkan diri bersama adiknya, Sarah, 51, dan anak saudaranya yang juga orang kurang upaya (OKU) autisme, Mohd Hafiz Baharom, 31.

Turut terbakar, sebuah rumah dan sebuah gerai berhampiran namun kebakaran di kedua-dua rumah itu hanya membabitkan 10 peratus.

Jaafar berkata, kejadian disedari Sarah yang ketika itu sedang memasak bubur di dapur untuk anaknya, Mohd Hafiz.

Katanya, rumah pusaka itu didiami mereka sejak 50 tahun lalu dan dia tinggal bersama adiknya yang sudah berpisah dengan suami manakala dia juga hidup menduda dan tidak mempunyai anak.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Mohd Firdaus Isa berkata, pihaknya menerima panggilan 10.25 pagi dan sebuah jentera bersama enam anggota tiba di lokasi pada 10.30 pagi.

Beliau berkata, setibanya di lokasi didapati api sedang marak dan rumah pertama musnah 90 peratus manakala rumah kedua dan gerai itu hanya 10 peratus.

“Hanya seorang mangsa melecur di tangan kanan dan sudah menerima rawatan awal dari anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Api dikawal 15 minit kemudian dan dipadam sepenuhnya pada 11 pagi dan operasi pemadaman turut dibantu 30 anggota dari lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

“Bagaimanapun setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:01 PM