NUR Azhad Insyirah bersama ibu bapa di rumah mereka.
NUR Azhad Insyirah bersama ibu bapa di rumah mereka.
Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Mohd Hilmie Hussin


KUALA LUMPUR: “Hampir terduduk saya dan isteri apabila anak sulung kesayangan, Nur Azhad Insyirah, 12, disahkan menghidap diabetes.

“Ini kerana baik saya mahupun isteri, keturunan kami tiada sejarah menghidap kencing manis dan apa yang berlaku kepada Nur Azhad memang mengejutkan” kata Mohd Tolhad Mohd Zin, 41.

Menurut Mohd Tolhad, Nur Azhad menghidap diabetes selepas kelenjar pankreasnya disahkan rosak.

Kata Mohd Tolhad, badan Nur Azhad tidak dapat menghasilkan insulin, sekali gus tidak dapat mengawal kandungan gula dalam badan.

Katanya, sejak kecil, Nur Azhad hiper aktif dan pernah digelar bayi comel kerana badannya yang sihat.

“Namun, pada cuti persekolahan 2017 lalu, berat badan Nur Azhad (ketika itu berusia 10 tahun) susut mendadak, daripada 50 kilogram (kg) kepada 36kg.

“Selain itu, rambutnya juga banyak gugur, sentiasa lemah, malah selepas makan Nur Azhad juga tidur.

“Keadaan itu menyebabkan dia malas ke sekolah dan sentiasa kepenatan walau hanya mendaki tangga untuk naik ke tingkat atas rumah kami,” katanya kepada Harian Metro.

NUR Azhad menunjukkan insulin yang diambil.
NUR Azhad menunjukkan insulin yang diambil.

Isterinya, Azlina Awang, 37, yang bekerja sebagai jururawat berkata, dia tahu simptom penyakit diabetes namun setiap kali bertanya kepada Nur Azhad mengenai kekerapannya bangun membuang air kecil pada waktu malam, anaknya tidak memberi tahu perkara sebenar.

“Dia hanya memberitahu kerap ke tandas apabila ditanya doktor dan ia jelas mengejutkan kami sekeluarga,” katanya.

Menurut Azlina, ketika mendapatkan rawatan awal Januari tahun lalu, ujian kandungan gula dalam darah Nur Azhad menunjukkan bacaan 22 dan dimasukkan ke zon merah Hospital Sungai Buloh.

Katanya, dia hanya menyedari tabiat Nur Azhad yang gemar mengambil minuman manis terutama berkarbonat melalui rakan anaknya itu.

“Dia memang kurang gemar minum air putih, setiap kali kami sekeluarga makan di luar, dua adik lelakinya cukup dengan segelas air namun dia mesti mahu lebih.

“Namun, selepas disahkan menghidap diabetes, Nur Azhad mula mengambil air putih dan dia juga belajar menjaga kesihatan diri termasuk menyuntik insulin sendiri,” katanya.

Sementara itu, Nur Azhad berkata, dia membeli minuman berkenaan di mesin minuman hampir setiap hari ketika di sekolah.

“Berbanding air minuman biasa, air manis memang lebih sedap.

“Tetapi selepas disahkan menghidap diabetes, saya tidak membeli minuman itu dan lebih berhati-hati dalam pengambilan makanan kerana tidak mahu penyakit ini menjadi bertambah teruk,” katanya.

41% pelajar luar bandar ambil minuman berkarbonat

KUALA LUMPUR: Remaja di luar bandar didapati lebih ramai yang mengamalkan pengambilan minuman ringan berkarbonat iaitu 41 peratus berbanding remaja di bandar iaitu 34 peratus.

Kajian membabitkan lebih 40,000 pelajar itu diperoleh menerusi Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017.

Berdasarkan kajian itu, satu daripada tiga pelajar di negara ini mengambil minuman berkarbonat sekurang-kurangnya sekali sehari.

Dari segi pecahan, pelajar lelaki didapati lebih ramai mengambil minuman berkarbonat iaitu 40 peratus manakala pelajar perempuan, 32 peratus.

Mengikut pecahan tahap persekolahan pula, 32 peratus pelajar sekolah menengah dikesan mengamalkan pengambilan minuman berkarbonat manakala 40 peratus membabitkan pelajar sekolah rendah.

Ia secara tidak langsung menunjukkan tabiat pemakananremaja di negara ini yang tidak sihat, sekali gus memerlukan tindakan komprehensif daripada semua pihak bagi mengatasinya atau negara berdepan masalah warganegara menghidap diabetes.

Data yang dinyatakan NHMS2017 itu juga merekodkan 50 peratus pelajar mempunyai berat badan normal dari segi indeks jisim badan (BMI), 70 peratus pelajar pula dikategorikan sebagai kurus, 44 peratus pelajar lebih berat badan dan 14 peratus lagi pelajar dikategorikan sebagai obesiti.

Presiden Diabetes Malaysia, Profesor Datuk Dr Ikram Ismail berkata, baik di Malaysia mahupun seluruh dunia, biasanya kanak-kanak termasuk bayi baru lahir menghidap diabetes jenis satu, namun beliau tidak menolak kemungkinan bilangan kanak-kanak di negara ini yang menghidap diabetes jenis dua bertambah berkali ganda.

Kata Dr Ikram, Malaysia tidak mempunyai data lengkap mengenai bilangan sebenar kanak-kanak yang menghidap diabetes satu kerana kebanyakannya tidak didaftarkan.

Begitupun, kata Dr Ikram, bilangan penghidap diabetes dua dipercayai semakin bertambah termasuk dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

Beliau berkata, antara program yang dilaksanakan termasuk mengadakan kem diabetes dengan membawa pesakit kanak-kanak berkumpul dan diajar cara hidup sihat, bagaimana melakukan ujian darah, pemakanan sihat dan sebagainya.

Pesakit bawah umur 20 tahun terus meningkat

KUALA LUMPUR: Bilangan pesakit bawah umur 20 tahun yang dimasukkan ke hospital akibat kencing manis di negara ini terus meningkat.

Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam yang juga Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit), Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, meskipun data Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) bagi penghidap diabetes di Malaysia hanya boleh didapati bagi penduduk berumur 18 tahun ke atas namun ia dipercayai naik mendadak selepas umur 30 tahun.

Kata Dr Feisul, diabetes dalam kalangan dewasa meningkat daripada 11.6 peratus pada 2006 kepada 15.2 peratus (2011) dan 17.5 peratus pada 2015, yang bersamaan dengan 3.6 juta rakyat Malaysia dewasa.

Ini kerana risiko utama diabetes adalah obesiti dan amalan gaya hidup yang tidak sihat.

Katanya, diabetes jenis satu yang mempunyai unsur genetik dalam kalangan kanak-kanak kerana ia tidak berkait dengan gaya hidup tidak sihat namun pakar pedatrik turut melaporkan bilangan kanak-kanak yang didiagnosa dengan diabetes jenis dua juga terus meningkat di negara ini.

“Selain itu, dapatan daripada beberapa penyelidikan kecil di sekolah di Malaysia turut menunjukkan diabetes jenis dua mula dikesan dalam kalangan murid sekolah rendah.

“Faktor risiko utama diabetes dalam kalangan kanak-kanak juga adalah obesiti yang kemungkinan besar mereka akan terus kekal obes sehingga dewasa,” katanya.

DR Feisul Idzwan
DR Feisul Idzwan

Menurut Dr Feisul lagi, pengambilan sebarang bentuk minuman manis (khususnya yang ditambah gula atau mempunyai kandungan gula tinggi) adalah tabiat tidak sihat.

Namun kata Dr Feisul, bukan itu saja yang perlu diberi tumpuan kerana ibu bapa perlu mendidik anak masing-masing mengenai amalan pemakanan serta gaya hidup sihat.

Katanya, dalam isu diabetes ini, ibu bapa perlu menggalakkan anak masing-masing mengambil minuman air putih atau air kosong dan tidak mendedahkan mereka dengan minum manis.

“Amalan pemakanan sihat penting dan pengetahuan mengenainya juga mustahak, jadi bukan hanya jenis minuman sebaliknya jumlah yang diminum, kekerapan meminum dan keperluan untuk minum.

“Sebagai contoh, jika kanak-kanak berkenaan aktif bermain bola sepak secara kompetitif, ada keperluan untuk mengambil minuman yang sesuai dengan tahap aktiviti dan keperluan sukan itu sendiri,” katanya.

Dr Feisul berkata, menjadi tanggungjawab semua ibu bapa menerapkan amalan gaya hidup yang sihat kepada anak masing-masing selain perlu menjadi idola kepada mereka.

“Bagi pembelian makanan atau minuman di sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama KKM turut mengeluarkan garis panduan bagi makanan dan minuman yang boleh atau dilarang untuk dijual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 6:00 AM