GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Lambakan ubat-ubatan dan produk untuk penghidap diabetes berasaskan tumbuh-tumbuhan serta sayuran dikesan dipromosi secara meluas di media sosial, biarpun tanpa kajian secara klinikal.

Dengan pelbagai testimoni dan janji manis, ia dikatakan boleh menurunkan kadar gula dalam darah serta merawat penyakit yang dihidapi kira-kira 4 juta rakyat negara ini.

Hakikatnya, beberapa bahan digunakan itu tidak terbukti secara klinikal menyebabkan keberkesanannya untuk merawat kencing manis belum dibuktikan secara saintifik.

Pakar Perunding Endokrinologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz Prof Dr Norlaila Mustafa berkata, secara umumnya semua tumbuhan mempunyai antioksida yang baik untuk kesihatan.

Bagaimanapun, katanya, kajian saintifik mengenai kunyit hitam, bawang hitam serta kopi tertentu yang dijual di media sosial belum pernah dilakukan.

"Apa yang ditulis bukanlah berdasarkan fakta sains, tetapi pengalaman mereka yang mungkin sudah mencubanya.

"Mereka gunakan fakta bahawa antioksidan boleh menurunkan paras gula. Ini tidak betul.

"Kalau bahan-bahan yang digunakan ini boleh merangsang insulin, ada justifikasinya di situ jika tidak membantu untuk rawatan kencing manis," katanya kepada Harian Metro.

Dr Norlaila berkata, antara punca utama rakyat negara ini menghidap kencing manis adalah pemakanan yang tidak dikawal.

Beliau berkata, pengguna perlu tahu membezakan antara makanan tambahan dan ubat-ubatan yang boleh mengawal kerintangan insulin.

Katanya, secara umumnya, diabetes boleh dirawat dengan nasihat daripada doktor, pengambilan ubat-ubatan pada dos yang betul serta disiplin diri yang tinggi.

"Diabetes bukanlah pengakhiran kepada kehidupan, sebaliknya ia menjadi permulaan gaya hidup lebih aktif dan sihat.

"Pengambilan pelbagai jenis produk untuk mengubati diabetes tanpa nasihat doktor dikhuatiri akan menyebabkan komplikasi lain seperti buah pinggang dan jantung. Justeru orang ramai perlu lebih berhati-hati," katanya.

Mengulas mengenai disiplin penghidap kencing manis ketika penularan wabak Covid-19, beliau berkata, mereka perlu lebih berjaga-jaga kerana terdedah kepada jangkitan kuman.

Katanya, penjagaan diri termasuk pemakanan serta kecergasan adalah perlu bagi menghindari jangkitan virus berkenaan.

"Bukan saja Covid-19, mereka ini lebih mudah dijangkiti penyakit lain.

"Jadi pematuhan SOP serta disiplin penggunaan ubat, senaman serta gaya hidup sihat perlu dipraktikkan untuk memastikan badan sentiasa sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 5:24 PM