MUHAMMAD Shahril (kiri) dan Jeyaessuary berkongsi amalan hidup sihat kepada media.
MUHAMMAD Shahril (kiri) dan Jeyaessuary berkongsi amalan hidup sihat kepada media.
Siti Zarinah Sahib

Bertugas sebagai pereka grafik sudah pasti tekanan kerja mempengaruhi kehidupan Muhammad Shahril Hamdan, 36. Dia juga adalah perokok tegar dan merokok dijadikan alasan untuk mendapatkan rekaan yang kreatif dan menarik. Waktu kerja yang tidak menentu menyebabkan dia sering tertekan. Suatu hari secara tiba-tiba dia mengalami kesakitan pada kedua-dua bahu, muntah dan berpeluh.

“Tidak tahan menanggung kesakitan saya ke hospital untuk jalani pemeriksaan. Alangkah terkejutnya kerana doktor mengesahkan tekanan darah sangat tinggi. Ujian Elektrokardiogram (ECG) yang dilakukan juga amat mengejutkan kerana terdapat penyumbatan pada kedua-dua bahagian injap jantung,” katanya.

Tidak menunggu masa yang lama pembedahan segera dilakukan namun hanya untuk satu bahagian yang tersumbat 100 peratus manakala pembedahan untuk sebelah injap lagi akan menyusul kemudian.

Shahril bersyukur kerana pembedahan berjaya dilakukan. Dia sedar tiada sesiapa mampu mengubah kehidupan melainkan diri sendiri. Lantas dia tekad mengubah amalan seharian dengan berhenti merokok dan makan makanan sihat.

“Jika dulu saya makan apa sahaja, tetapi kini saya hanya memilih makanan sihat. Saya juga menjaga waktu tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari dan mengamalkan senaman ringan di rumah. Hampir tujuh bulan saya berhenti merokok saya dapat rasakan badan lebih cergas dan fikiran tenang. Paras kolesterol juga semakin baik,” katanya.

Sebagai ibu tunggal kepada empat cahaya mata, Jeyaessuary, 52, menguruskan semuanya. Bermula membesarkan anak-anak sehingga menyediakan keperluan mereka sama ada persekolahan dan keperluan peribadi. Ini menyebabkan ada kala dia tertekan. Oleh sebab itu dia sering menyertai acara larian untuk menenangkan fikiran dan meningkatkan tahap kesihatannya.

Suatu hari dia mengalami kesakitan pada bahagian dada secara mengejut sehingga sukar bernafas. Rasa sakit ini tidak pernah dirasai sebelum ini. Tidak sanggup menanggung kesakitan Jeyaessuary menjalani pemeriksaan di hospital dan doktor mengesahkan ketiga-tiga arteri jantungnya tersumbat.

“Saya sangat terkejut apabila mengetahui jantung saya bermasalah. Selama ini, saya ingat masalah jantung hanya mengancam mereka yang kurang bersenam dengan amalan pemakanan tidak sihat. Doktor memberitahu keadaan ini berlaku akibat paras kolesterol yang tinggi, masalah tekanan darah tinggi dan diabetes yang saya hadapi.

“Sebelum ini memang saya ambil mudah mengenai penjagaan jantung. Pengalaman ini menyedarkan saya pentingnya penjagaan kesihatan jantung terutama dalam soal pemakanan dan bersenam,” katanya yang mula mengubah gaya hidup dengan makan makanan berkhasiat.

RAMAI BUAT TIDAK PEDULI

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) Dr Shaiful Azmi apa yang dilalui oleh Shahril dan Jeyaessuary sering kali dialami ramai orang. Keadaan ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai kolesterol dan peranannya sebagai punca utama penyakit kardiovaskular.

Namun kebanyakan individu tidak mengambil tahu atau menjalani pemeriksaan kolesterol. Sehinggalah berlaku keadaan seperti sukar bernafas, terjatuh atau mengalami kesakitan yang teruk barulah mereka sedar mengenai masalah kolesterol yang menjadi punca kepada pelbagai penyakit.

“Pembentukan kolesterol berpunca daripada pengumpulan lemak berlebihan dalam salur darah. Kolesterol yang terkumpul pada dinding arteri boleh menyekat kelancaran aliran darah dan oksigen, sekali gus mengakibatkan sakit dada, serangan strok dan penyakit jantung.

“Ramai yang terkejut dengan fakta ini. Hakikatnya, masalah kolesterol tinggi tidak memilih mangsa dan boleh mengancam sesiapa saja. Tidak kira usia, jantina atau saiz badan. Mitos bahawa kolesterol tinggi hanya berlaku kepada golongan tertentu adalah tidak benar.

“Golongan wanita dan lelaki tetap mempunyai risiko yang sama. Mereka yang tidak obes dan orang muda juga berisiko tinggi. Malangnya, masalah kolesterol tinggi lazimnya tidak menunjukkan sebarang simptom. Malah, kewujudan masalah ini biasanya hanya dikesan di saat genting,” katanya dalam sesi perkongsian bersama Nestle Omega Plus dan IJN baru-baru ini.

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi IJN, Dr Emily Tan berkata, bukan semua kolesterol adalah buruk. Ada sejenis kolesterol yang dihasilkan oleh tubuh secara semula jadi bagi membantu pembentukan sel membran, hormon dan vitamin D. Sejenis lagi pula berpunca daripada kandungan lemak tepu dan lemak trans yang dihadam ketika makan dan ini adalah kolesterol buruk dalam badan.

“Rakyat Malaysia perlu bersikap lebih proaktif dalam menjaga kesihatan jantung dengan mengutamakan pemeriksaan paras kolesterol secara kerap. Selain itu individu harus tahu pengurusan kesihatan jantung yang holistik merangkumi perubahan gaya hidup dan amalan pemakanan sihat yang baik untuk jantung. Gaya hidup aktif membabitkan pelbagai aktiviti fizikal dan senaman secara kerap juga membantu dalam rutin penjagaan kesihatan jantung,” ujarnya.

Pegawai Eksekutif Bahagian Perniagaan Produk Tenusu Nestle Malaysia Ng Su Yen berkata, Nestle sentiasa komited dalam usaha mendidik masyarakat dan menyebarkan maklumat penting berkaitan kolesterol tinggi dan kesihatan jantung.

“Kita perlu menyedari bahayanya masalah kolesterol tinggi kepada kesihatan. Kami menyarankan orang ramai agar melakukan perubahan ringkas menerusi amalan biasa yang dipraktikkan demi menikmati impak positif terhadap kesihatan jantung dan kualiti hidup dalam jangka panjang. Usaha ini sejajar dengan matlamat Nestle dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat demi masa depan yang lebih sihat,” katanya.

Dalam usaha memperjuangkan gaya hidup aktif untuk kesihatan jantung Nestle Omega Plus mendorong semua rakyat Malaysia menjadi lebih proaktif menguruskan paras kolesterol mereka. Ini boleh dilakukan dengan amalan gaya hidup sihat dan aktif menerusi senaman dan mengawal pemakanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 12:53 PM