Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Warga kota yang ingin pulang ke kampung digesa untuk mengawal emosi dan bersabar ketika memandu berikutan lebih dua juta kenderaan dijangka membanjiri lebuh raya utama seluruh negara.

Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jaman berkata, ini kerana, sikap kurang sabar menjadi antara punca utama kemalangan jalan raya.

Menurut beliau, bagi membantu mengatasi masalah itu, pihaknya meminta orang ramai menjadi 'mata-mata' JPJ dengan membuat aduan berkaitan salah laku trafik menerusi aplikasi MyJPJ.

"Kita sedia maklum, di musim perayaan, ada lebih dua juta tambahan trafik di jalan raya yang akan meningkatkan kesesakan lalu lintas.

"Ia menjadi lebih parah apabila ada segelintir pemandu yang mementingkan diri sendiri dengan memotong barisan atau menggunakan laluan kecemasan (kecuali smartlane).

"Perkara seperti ini akhirnya boleh menjadi kes buli jalanan," katanya pada program Podcast Apa-Apa Sahaja Harian Metro.

Kata beliau, antara yang boleh diadukan termasuk sembilan kesalahan utama iaitu tidak patuh lampu isyarat, memotong garisan berkembar, mengguna telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan kecuali smartlane dan tidak pakai tali keledar.

"Selain itu, memotong di laluan kiri, memotong barisan, cermin gelap, dan nombor pendaftaran fancy juga antara sembilan kesalahan utama.

"Orang ramai boleh merakam kesalahan ini dan buat aduan kepada JPJ tetapi, janganlah yang memandu pula rakam, mintalah isteri atau penumpang lain untuk rakam," katanya.

Lokman berkata, pihaknya melaksanakan Ops Khas dan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 membabitkan pelbagai agensi sebagai inisiatif penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang trafik bermula 1 April hingga 20 April.

Kata beliau, ia penting berikutan peningkatan enam peratus kadar kemalangan maut kepada 6,443 kes pada 2023 berbanding 6,080 yang dicatatkan pada 2022 berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ini bermakna berlaku purata 18 kematian sehari atau bersamaan dengan 1 jam 20 minit bagi setiap kematian pada 2023 dengan penunggang motosikal mencatatkan kematian tertinggi iaitu 70 peratus.

"Dengan jumlah pergerakan kenderaan yang tinggi di musim perayaan, ia menyebabkan peningkatan trend kemalangan yang mana rekod menunjukkan, jika berlaku 20,000 kemalangan maka indeks kematian mencecah 200 orang," katanya.

Menurut beliau, jumlah kematian itu masih dianggap angka yang tinggi berikutan ia membabitkan nyawa pengguna jalan raya, justeru penunggang motosikal dinasihati menaiki kenderaan awam.

Katanya, ini kerana pengguna motosikal antara penyumbang terbesar kepada jumlah kemalangan maut.

Sehubungan itu, kata beliau, pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan keselamatan kenderaan awam di tahap terbaik.

"Sepanjang tempoh Ops Khas musim perayaan ini, JPJ akan melakukan pemantauan di 54 depoh bas dan 28 terminal bas utama seluruh negara selain melakukan penyamaran di dalam bas ekspres.

"Ia bagi mengesan pemandu bas yang melanggar peraturan jalan raya malah orang ramai juga boleh buat aduan berkaitan mana-mana pemandu bas menerusi aplikasi MyJPJ," katanya.

Pengangkutan awam alternatif lebih selamat - JPJ

LOKMAN (tengah) dan Timbalan Pengarah Penguatkuasa, Bahagian Penguatkuasa JPJ Malaysia, Dr Azmi Awang (kiri) ketika audio siar Apa-Apa Saja Harian Metro di Balai Berita. FOTO Shahrul m Zain
LOKMAN (tengah) dan Timbalan Pengarah Penguatkuasa, Bahagian Penguatkuasa JPJ Malaysia, Dr Azmi Awang (kiri) ketika audio siar Apa-Apa Saja Harian Metro di Balai Berita. FOTO Shahrul m Zain

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 3:25 PM