GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kutipan sisa pepejal di daerah Kota Bharu meningkat sebanyak 430 tan sehari sepanjang Ramadan berbanding 350 tan sehari pada hari biasa.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, ia susulan pembukaan bazar Ramadan yang menjadi antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan sebanyak 23 peratus kutipan sisa pepejal.

Katanya, pembungkusan makanan plastik juga menjadi penyumbang utama peningkatan kepada sisa sampah itu berikutan pembelian makanan secara berlebihan

"Pada masa sama, makanan yang tidak dihabiskan dan dibuang begitu saja juga menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan kutipan sisa pepejal setiap kali bulan Ramadan, selain daripada bungkusan makanan daripada bahan plastik sekali guna.

"Peniaga yang berniaga di bazar Ramadan juga banyak menggunakan bungkusan plastik yang sekaligus menyebabkan pertambahan sampah ini agak ketara," katanya.

Rosnazli berkata, bagaimanapun penjanaan sampah akan meningkat lebih tinggi menjelang musim perayaan disebabkan isi rumah menggantikan perabot baru.

"Dekat nak raya, orang ramai membersihkan rumah, ada yang menggantikan perabot dengan membuang kelengkapan lama seperti sofa, meja makan dan permaidani.

"Mereka ini kadang-kadang membuang sampah pukal ini ke tempat yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan lori kompaktor menjadi rosak.

"Dalam hal ini, sekiranya ada individu yang mahu membuang sampah pukal seperti almari, kerusi, dan sebagainya mereka perlu memaklumkannya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk penyelarasan kutipan sampah berkenaan di kawasan masing-masing.

"Sehubungan itu, pihak MPKB-BRI buat pertama kalinya sempena Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini menyediakan perkhidmatan mengangkut sampah kekal berkenaan dengan kadar caj yang dikenakan adalah di antara RM10 sehingga RM30," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 12:53 PM