GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Jumlah janaan sisa pepejal di Kedah dan Perlis dijangka meningkat sehingga 2,100 tan sehari menjelang sambutan Aidilfitri bulan hadapan.

Ketua Komunikasi Korporat E-Idaman, Mohd Firdaus Mohd Isa berkata, jumlah itu meningkat kira-kira 15 peratus berbanding janaan biasa sekitar 1,800 tan sehari ketika ini.

Katanya, peningkatan jumlah sisa pepejal itu disebabkan aktiviti perniagaan yang kembali beroperasi seperti biasa dan kepulangan orang ramai ke kampung.

"Pada tahun lalu, menjelang Aidilfitri janaan sisa pepejal di dua negeri ini meningkat 13 peratus iaitu sebanyak 1,800 tan berbanding 1,600 tan pada hari biasa, namun tahun ini kita jangka akan lebih tinggi.

"E-Idaman akan melaksanakan kutipan khas sisa pukal dan kebun di taman yang dikenal pasti menghasilkan lebihan janaan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

"Lebih 4,000 pekerja dan 540 jentera akan terus melakukan kerja kutipan sampah bagi melancarkan kerja pembersihan dan pengurusan sisa pepejal di dua negeri ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramadan Kita di rumah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), malam tadi.

Mohd Firdaus berkata, perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan di Kedah dan Perlis ketika Aidilfitri juga akan berjalan seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 11:50 AM