SHAMSUL Akbar (tiga dari kanan) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin (tengah)  ketika pemeriksaan di Pelabuhan Klang, baru-baru ini. FOTO Ihsan Maqis.
SHAMSUL Akbar (tiga dari kanan) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin (tengah) ketika pemeriksaan di Pelabuhan Klang, baru-baru ini. FOTO Ihsan Maqis.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sebanyak 329 kes pelanggaran dan ketidakpatuhan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dikesan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Shamsul Akbar Sulaiman, berkata, daripada jumlah itu Johor tertinggi dengan 108 kes diikuti Selangor sebanyak 97 kes, Pulau Pinang (86), Kelantan (30), Kedah (5) dan selebihnya daripada lain-lain negeri.

Katanya, antara kesalahan dan ketidakpatuhan itu termasuklah kegagalan pengimport dan pengeksport mematuhi syarat yang ditetapkan seperti tiada permit Maqis yang sah, gagal mengemukakan dokumen pengimportan seperti Sijil Kesihatan Veterinar dan Sijil Phytosanitari, gagal melepasi kaedah rawatan yang ditetapkan, penemuan serangga perosak dan produk yang tercemar.

"Daripada jumlah itu sebanyak 139 kes dikenakan kompaun dan dilupuskan manakala selebihnya dikenakan tindakan rawatan semula dan tidak dibenarkan masuk ke dalam negara.

"Produk tumbuhan adalah penyumbang utama transaksi perdagangan dengan 269,000 permit dikeluarkan diikuti dengan produk dari sektor perikanan dengan 60,000 permit dan seterusnya produk sektor ternakan dan haiwan adalah penyumbang ketiga dengan 49,000 permit.

"Berdasarkan data kemasukan, produk tanaman seperti koko, jagung, soya, gandum adalah komoditi import utama diikuti dengan produk tenusu, daging dan keratan ayam," katanya.

Beliau berkata, dari segi pelaksanaan kawalan tahun ini, pihaknya menempatkan pertambahan anggota di pintu masuk utama termasuk yang bertugas pintu masuk laluan penumpang seperti Bukit Kayu Hitam Kedah, Wang Kelian dan Padang Besar di Perlis, Kompleks ICQ Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor dan Kompleks ICQS Bandar Hilir di Melaka.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan pertambahan anggota akan dilaksanakan dari masa ke semasa apabila proses pengisian perjawatan dilaksanakan sepenuhnya.

"Kita melaksanakan keseluruhan 360,000 pemeriksaan dokumen ke atas transaksi yang masuk, manakala pemeriksaan secara fizikal berdasarkan kaedah 'profiling' yang menentukan keutamaan untuk diperiksa, sebagai contoh daging dan keratan ayam diletakkan sebagai senarai utama perlu diperiksa sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 11:42 AM