KEPALA babi bersama pelbagai produk dirampas ketika pemeriksaan MAQIS Johor di KSAB. FOTO IHSAN MAQIS
KEPALA babi bersama pelbagai produk dirampas ketika pemeriksaan MAQIS Johor di KSAB. FOTO IHSAN MAQIS
Mohd Sabran Md Sani


KEPALA babi antara 100 kilogram produk hasilan haiwan yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor di Kompleks Sultan Abu Bakat (KSAB), Gelang Patah, Jumaat lalu.

Pengarahnya, Nur Afifah A Rahman berkata, rampasan bernilai RM2,000 dilakukan anggota penguat kuasa di laluan penumpang kereta dan bas kompleks itu jam 12 tengah hari.

Katanya, tindakan menahan kenderaan dari negara jiran susulan pemeriksaan ketat berikutan penularan wabak African Swine Fever (ASF).

“Penularan wabak penyakit ini pertama kali dikesan di China pada 3 Ogos 2008 dan dikatakan merebak ke beberapa negara Asia dan ujian makmal mengesahkan ia berlaku dalam ternakan babi komersial.

“Justeru itu, MAQIS komited mengawal selia dan mencegah sebarang kemasukan wabak dan penyakit melalui produk hasil pertanian dan pemakanan di semua pintu masuk negara supaya biosekuriti pemakanan negara terjamin dan selamat,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Katanya, langkah pencegahan diambil mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Menurutnya, tindakan diambil terhadap mana-mana individu yang mengimport melalui pintu masuk, stesen kuarantin atau premis kuarantin apa-apa tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma dengan perosak, penyakit atau bahan cemar.

“Produk dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar atau diserang perosak, penyakit atau bahan cemar akan dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, bagi kesalahan kedua, seseorang itu didenda tidak melebihi RM150,000 atau penjara maksimum tujuh tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 2:26 PM