SYED Abu Hussin Syed Abdul Fasal. FOTO arkib NSTP
SYED Abu Hussin Syed Abdul Fasal. FOTO arkib NSTP
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilantik mengetuai Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ahli Parlimen dari BERSATU itu akan mengepalai kluster itu bagi membantu kerajaan merangka pelan strategik bagi mengawal harga barang.

"Sahabat saya, Syed Abu Hussin sama-sama ambil inisiatif ini kerana walau kita lakukan pelbagai langkah, tapi kita tahu kos sara hidup meningkat. Walau kita umum tambahan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), tapi tak cukup kalau kita tak kawal harga barang.

"Saya terima teguran, permintaan orang ramai, kita adakan banyak jualan rahmah. Saya tengok harga ikan, ayam, beras (pada jualan) hari ini jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

"Ini kita kena perbanyakkan, sebab tu saya tugaskan Syed Abu Hussin untuk bantu NACCOL bagi menambah ikhtiar supaya Jualan Madani ini dapat kita tingkatkan, perluaskan dan kerapkan lagi di seluruh negara," katanya semasa berucap pada Jualan Termurah Madani di Padang Taman Klebang Restu, di sini, hari ini.

NACCOL adalah salah satu kluster dalam Sektor Hal Ehwal Kos Sara Hidup dan Penyelidikan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berperanan merangka dasar, strategi serta pelan tindakan untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup untuk pertimbangan dan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan mengambil maklum aduan rakyat berkenaan peningkatan harga barang keperluan seharian, meskipun ekonomi negara dilaporkan semakin pulih.

Pada jualan berkenaan, terdapat 39 jenis barangan basah dijual dengan penjimatan antara 20 hingga 65 peratus, serta 25 jenis barangan kering dengan tawaran lapan hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Turut berlangsung, Buffet Madani RM5 yang membolehkan pengunjung menikmati pelbagai juadah seperti nasi lemak, roti canai, ayam goreng, daging masak hitam dan macaroni dengan bayaran serendah RM5.

ANWAR hari ini meninjau pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu  bantuan subsidi bersasar di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
ANWAR hari ini meninjau pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu bantuan subsidi bersasar di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 1:42 PM