Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi ayam serta telur yang dilanjutkan mulai bulan depan, melegakan ramai pihak.

Peniaga ayam, Ahmad Sobri Ali, 38, berkata, langkah kerajaan itu tepat masanya bagi meringankan beban rakyat yang masih bergelut dengan kos sara hidup tinggi dan kenaikan harga barang.

"Subsidi ini memang banyak membantu semua pihak kerana apabila tiada subsidi, pembekal akan tolak harga tinggi kepada kita seterusnya kita pula terpaksa jual mahal kepada pembeli.

"Macam individu yang beli sedikit mungkin tidak terasa sangat kenaikan harga jika tiada subsidi, tetapi golongan peniaga kedai makan contohnya yang selalu beli banyak pasti terkesan dan terpaksa menaikkan harga makanan," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia berharap kerajaan akan melaksanakan langkah pemberian subsidi itu secara berpanjangan sehingga keadaan ekonomi kembali stabil.

Sementara itu, pemborong dan peruncit telur, Mohd Haikal Rahim lega dengan langkah kerajaan menyambung semula subsidi.

"Baguslah apabila kerajaan sambung semula pemberian subsidi dengan harapan dapat stabilkan harga dan bekalan dalam negara.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"Kita harap pemberian subsidi ini diteruskan kerana amat membantu bukan dari segi pembeli boleh beli dengan harga murah, malah kita pun dapat harga rendah daripada pembekal," katanya.

Katanya, jika subsidi tiada pasti banyak pihak terkesan terutama orang tengah sepertinya terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu bertahan.

"Sebelum ini, kalau kami dapat harga lebih rendah daripada pembekal, kami masih boleh jual kepada pembeli pada harga rendah daripada harga kawalan.

"Tetapi, dalam keadaan sekarang kalau datang harga mahal kita tiada pilihan memang harga jual pun akan ikut harga kawalan semasa sekurang-kurangnya boleh balik modal kerana kita pun ada kos-kos perlu ditampung.

"Kita tak mahu berlaku macam tahun lalu keadaan teruk hingga ramai gulung tikar kerana tak dapat tampung kos operasi lagi disebabkan bekalan kurang dan kalau dapat pun dengan harga tinggi," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan akan meneruskan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi ayam dan telur mulai 1 Julai ini selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan itu.

Sebelum ini, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kerajaan akan menghentikan pemberian subsidi ayam dan telur sebaliknya harganya akan diapungkan mulai 1 Julai ini.

Langkah itu bertujuan membolehkan kerajaan membuat penilaian serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun berbanding harga siling runcit pada masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 2:16 PM