GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Kegiatan tiga lelaki warga Myanmar melakukan kes pecah rumah mengundang padah apabila ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 72 tahun menyedari rumahnya di Taman Cheras Indah dipecah masuk pada 14 Jun lalu di mana ketika itu dia berada di rumah anaknya di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurutnya, adiknya yang menghubungi mangsa memaklumkan kejadian itu dan menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran menyebabkan dia kerugian RM5,000 selepas barangan kemas dicuri.

"Susulan itu, pada jam 11.05 malam sepasukan polis menahan tiga lelaki warga Myanmar berusia 29hingga 31 tahun di Taman Bukit Teratai, Kuala Lumpur.

"Suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah dan narkotik, suspek kedua mempunyai dua rekod narkotik manakala suspek ketiga tidak punyai sebarang rekod jenayah.

"Ujian air kencing ke atas suspek pertama positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamin dan THC. Suspek kedua negatif dadah manakala suspek ketiga positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis membuat rampasan resit emas pajak gadai, dua buah motosikal Honda EX5 dan Honda Wave, 19 jam tangan, enam buah telefon bimbit, sebuah kamera, dua rangkai kunci motosikal, dua buah beg galas, dua pasang sarung tangan dan beberapa peralatan pecah rumah.

"Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek mengaku terbabit dalam kegiatan jenayah pecah rumah dalam daerah Ampang Jaya sebanyak 15 kes.

"Suspek direman bermula kelmarin sehingga 19 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 1:18 PM