Ramli Mohamed Yoosuf
Ramli Mohamed Yoosuf
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Semua pihak perlu bekerjasama lebih rapat membabitkan agensi dalam dan luar negara bagi menangani serangan siber yang menunjukkan trend peningkatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tidak dapat dinafikan ledakan teknologi menjadi antara faktor lonjakan itu kerana penjenayah akan mengambil peluang dan ruang.

Menurutnya, teknologi bersifat serampang dua mata yang mana pembangunan apa seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kecerdasan buatan umum (AGI) yang mana dikatakan menyamai keupayaan manusia dengan IQ perisian dari 160 ke atas akan meningkat peluang jenayah.

"Maka banyaklah kita jangka jenayah-jenayah baru akan timbul dengan elemen jenayah siber termasuk pemalsuan, deepfake dan jenayah membabitkan perdagangan yang mana jika dilihat e-Dagang pun menjadi penyumbang besar kes kerugian.

"Jadi apa yang tinggal sekarang ini pengetahuan kepada masyarakat yang perlu sentiasa cakna dengan persekitaran dan perubahan yang berlaku," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Digital Gobind Singh Deo yang memaklumkan trend serangan siber di negara ini meningkat antara 2016 hingga 2022.

Ramli berkata, jika masyarakat tidak cakna kes jenayah siber akan mudah berlaku.

"Jika dulu kes membabitkan phone scam, penjenayah hanya boleh menghubungi seorang dalam satu masa namun dengan teknologi AI mereka boleh mencapai sehingga 5,000 orang sekali gus dalam satu masa. Mungkin kalau tidak dapat 1,000 mangsa, 100 orang terpedaya pun sudah cukup.

"Tetapi Alhamdulillah kita lihat kerajaan sangat sensitif mengenai isu ini dan merangka undang-undang sama ada fizikal atau siber bagi menanganinya tetapi ia perlu sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan teknologi itu sendiri," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh 45 jam pun ada benda baharu direka dan dikeluarkan yang mana kaedah siasatan perlu dipertingkatkan dan ditambahbaik logistik serta undang-undang.

"Jika tidak, akan berlaku kepincangan nanti dan gagal menyekat serangan siber serta jenayah yang berlaku di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 4:14 PM