ASPEK kebocoran maklumat, serangan siber tidak boleh disahkan selamat dalam dunia teknologi pada hari ini. - FOTO Google
ASPEK kebocoran maklumat, serangan siber tidak boleh disahkan selamat dalam dunia teknologi pada hari ini. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan


PERKEMBANGAN teknologi Kecerdasan Buatan (AI) pada hari ini banyak mempengaruhi kehidupan seharian dan ia turut mempengaruhi segmen industri.

  Kemajuan teknologi AI ini banyak memberi kesan dalam kehidupan manusia sebagai pembantu ataupun bentuk penyeragaman namun ia juga mempunyai kesan negatif jika tiada pemantauan dilaksanakan.

  Teknologi ini banyak digunakan dalam industri, perubatan, pengangkutan dan banyak lagi dan pandangan ramai pakar industri menyatakan perlu ada garis panduan atau perundangan khusus dalam kawal selia teknologi ini.

  #ITMetro pada minggu ini akan menggariskan beberapa isu besar yang melingkari teknologi AI termasuk kesan baik serta buruk jika tiada kawal selia dilaksanakan pihak berkuasa.

  Garis panduan atau perundangan ini difikirkan perlu kerana perlu ada peraturan berlandaskan kepada undang-undang yang akan mengikat sesiapa sekali gus melindungi pengguna secara keseluruhan.

  Isu keselamatan data pengguna menjadi salah satu perkara penting pada ketika ini dan terdapat banyak insiden ketirisan data dilaporkan di seluruh dunia.

Isu Keselamatan dan Perlindungan Data

Ini adalah isu pokok dalam kemajuan teknologi pada hari ini apabila AI banyak 'terbabit' dalam urusan pemprosesan data peribadi pengguna sekali gus ia menimbulkan tanda tanya adakah maklumat berkenaan dijamin selamat.

  Untuk semua teknologi yang ada pada hari ini, tiada 'jaket kalis peluru' atau 'kevlar', sebaliknya semua adalah berisiko tentang aspek kebocoran maklumat mahupun serangan siber.

  Wujud cadangan pemain industri bahawa maklumat pengguna tidak boleh diubah dengan pengenalan kepada maklumat 'blockchain'.

  Isu lain pula adalah perlu ada satu garis panduan jelas bagaimana data sensitif pengguna perlu diuruskan dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap kawal selia jika berlaku kebocoran kelak.

ANCAMAN AI dalam isu keselamatan siber menjadi topik yang sering dibincangkan serta keperluan untuk garis panduan penggunaan teknologi berkenaan. - FOTO Google
ANCAMAN AI dalam isu keselamatan siber menjadi topik yang sering dibincangkan serta keperluan untuk garis panduan penggunaan teknologi berkenaan. - FOTO Google

KEBANYAKAN teknologi AI membabitkan proses data serta maklumat pelanggan sekali gus menimbulkan kebimbangan jika ia tidak dikawal selia dengan baik. - FOTO Google
KEBANYAKAN teknologi AI membabitkan proses data serta maklumat pelanggan sekali gus menimbulkan kebimbangan jika ia tidak dikawal selia dengan baik. - FOTO Google

  • Perundangan AI

    Beberapa negara Eropah sudah pun memulakan langkah dengan draf perundangan berhubung etika keselamatan teknologi AI dan ia adalah satu langkah awal terhadap kawal selia teknologi berkenaan pada masa depan.

      Untuk negara rantau Asia Tenggara pula, ia seakan 'juzuk' teknologi yang dibiarkan bebas tanpa sebarang peraturan yang mengikat jika berlaku sesuatu insiden.

      Peranan teknologi AI pada masa kini adalah sangat besar kerana hampir kesemuanya dipengaruhi teknologi berkenaan.

      Data serta maklumat sensitif pengguna harus dilindungi dalam setiap masa tanpa gagal kerana ia mungkin akan dimanipulasi pihak ketiga jika berlaku ketirisan.

  • Keselamatan Siber

    Terdapat insiden yang dilaporkan di seluruh dunia, pihak penggodam memanipulasi AI untuk melakukan serangan siber.

      Ia sekali gus memberi ruang penambahbaikan baharu untuk memperkemaskan sistem keselamatan siber yang sekali gus melindungi AI sebagai salah satu komponen dalam segmen berkenaan.

  • Etika penggunaan ai

    Wujud juga persoalan dalam kalangan pemain industri bahawa bagaimana untuk memastikan teknologi AI berkenaan digunakan untuk kebaikan saja tanpa disalahgunakan.

      Walaupun tiada jawapan tuntas untuk perkara berkenaan, namun ia semua bertitik tolak kepada asas peruntukan perundangan.

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 7:00 AM