Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Perkembangan pesat dunia digital meningkatkan kebergantungan kepada teknologi maklumat dan komunikasi. Dunia siber kini adalah sebahagian daripada kehidupan manusia moden yang memainkan peranan penting dan banyak mengubah pelbagai aspek kehidupan manusia.

Bagaimanapun, dunia siber bukan sahaja memberi kesan yang positif, malah boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat sehingga boleh meningkatkan kadar jenayah.

Menggodam komputer, mencuri kata laluan untuk perbankan internet, penyalahgunaan kad kredit untuk pembelian dalam talian, keganasan siber dan pelbagai kegiatan jenayah era baharu ini dilakukan dengan mudah melalui dunia siber.

Terbaharu, teknologi kecerdasan buatan (AI) mula 'mengambil alih' kaedah sindiket untuk menjerat mangsa dalam dunia siber yang tiada sempadan.

Penulis baru-baru ini bersama seorang mangsa penipuan yang juga rakan penulis yang mendakwa menerima panggilan daripada sindiket penipuan dan mengaku sebagai ahli keluarga.

Rakan penulis hampir tertipu apabila sindiket menggunakan teknologi AI dengan meniru suara milik ahli keluarga sebelum meminta wang.

Namun, rakan penulis bernasib baik apabila membuat pemeriksaan dengan individu sebenar sebelum mengetahui panggilan yang diterima adalah daripada scammer.

Kaedah deepfakes yang digunakan sindiket penipuan ini mampu menjerat mangsa apabila teknologi itu mampu meniru suara, gaya dan rupa milik individu yang sebenar.

Ancaman teknologi AI menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah terutama penipuan siber yang meningkat saban hari.

Memandangkan sifat dunia maya yang menjadikan beban pembuktian elemen jenayah daripada sudut niat (mens rea) dan perlakuan jenayah (actus reus) seorang penjenayah, adalah dirasakan perlu digubal satu undang-undang yang khusus untuk mengawal setiap kategori jenayah siber yang dilakukan terhadap orang ramai, sama ada terhadap diri manusia, harta atau untuk keselamatan orang ramai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain baru-baru ini dilaporkan berkata, kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat pada masa akan datang susulan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan teknologi AI.

Beliau turut menyarankan undang-undang Malaysia sedia ada berkaitan jenayah siber perlu dikaji dengan memasukkan elemen penipuan melalui perisian dan peranti komputer.

"Walaupun hampir keseluruhan tujuannya adalah baik, ia boleh digunakan untuk kegunaan jenayah seperti pemalsuan wajah (deepfakes), maklumat salah (misinformation) dan maklumat palsu (disinformation), malah ia mampu mengubah fabrik sosial.

"Sebagai langkah awal, PDRM akan menggiatkan program kesedaran masyarakat mengenai peningkatan trend jenayah ini," katanya.

Senada dengan Razarudin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, undang-undang sedia ada berkaitan jenayah siber perlu dikaji semula dan selaras dengan negara lain bagi menangani ancaman jenayah siber.

Beliau berkata, kajian terperinci undang-undang perlu dibuat penggubal undang-undang kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanyalah pelaksana penguatkuasaan undang-undang.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen berkata, kerajaan akan meminda undang-undang sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan memerangi kegiatan jenayah siber.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, hampir 55,000 kes jenayah siber dengan nilai kerugian mencecah RM1.8 bilion dilaporkan bagi tempoh 2021 hingga Julai tahun ini.

Tindakan pantas daripada kerajaan ini diharap mampu menangani jenayah siber di negara ini.

Bagi penulis, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu terbabit bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pemalsuan wajah (deepfakes), maklumat salah (misinformation) dan maklumat palsu (disinformation), yang mampu mengubah fabrik sosial.

Satu kerangka dan mekanisme baharu terutama yang melibatkan kerjasama antara kerajaan dan swasta bagi mengurangkan masalah jenayah siber dan meningkatkan aspek keselamatan siber untuk kepentingan bersama.

Usaha membanteras jenayah siber perlu dilestarikan setiap masa bagi memastikan masyarakat dan negara dapat menikmati faedah besar daripada dunia digital dan teknologi maklumat.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 6:15 AM