ANTARA ahli sindiket penipuan Forex ditahan dalam serbuan di sebuah premis di sekitar Lembah Klang. FOTO Ihsan PDRM.
ANTARA ahli sindiket penipuan Forex ditahan dalam serbuan di sebuah premis di sekitar Lembah Klang. FOTO Ihsan PDRM.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Remaja 17 tahun antara 77 ahli sindiket penipuan pelaburan mata wang asing (Forex) ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan dijalankan pihaknya bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Siasatan awal mendapati adanya unsur penipuan pelaburan Forex dalam talian dengan menggunakan laman sesawang.

"Tangkapan keseluruhan adalah 77 orang terdiri daripada 38 lelaki, 28 wanita tempatan dan lima lelaki serta enam wanita warga asing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menyasarkan mangsa terdiri pelabur dari dalam dan luar negara.

Katanya, pasukan serbuan merampas 35 unit komputer, komputer riba (satu), tablet (satu), telefon bimbit (20), router (satu), modem (satu), passport (tujuh), pas pekerja (38).

"Kesemua suspek direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420/120 Kanun Keseksaan.

"Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan sila hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur03-21460584/0585," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 10:58 PM