MANCHA Ata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
MANCHA Ata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

Kuching: Polis Sarawak menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa untuk dijadikan keldai akaun selepas menahan lima individu dalam serbuan di dua kondominium mewah, di sini, Isnin lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, semua suspek warga tempatan berusia lingkungan 20-an dengan empat daripadanya lelaki dan seorang wanita dipercayai menyebabkan kerugian sebanyak RM1.8 juta sejak aktif beberapa bulan lalu.

Menurutnya, kejayaan itu hasil intipan yang dilakukan Unit Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak dalam tempoh seminggu.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui 45 keping kad juruwang automatik (ATM) pelbagai akaun bank, 21 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga kenderaan, tiga set komputer serta dua set modem dan router (penghala) wifi.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sebagai pusat panggilan yang menjalankan kegiatan mengawal akaun bank dan membuat pemindahan wang dari akaun mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, Mancha berkata, sindiket terbabit dikenal pasti melakukan penipuan kerja sambilan menerusi laman sosial.

Menurutnya, mereka mensasarkan pencari kerja sambilan berusia antara 17 hingga 40 tahun kalangan warga tempatan Sarawak serta warga negara jiran, Indonesia untuk dijadikan sebagai keldai akaun.

"Sindiket itu dipercayai aktif menjalankan penipuan kerja sambilan sejak bulan Jun lalu dengan mengumpan mangsa 'Like dan Share' ke akaun bank yang ditetapkan di dalam kumpulan Telegram," katanya.

Mancha berkata, lima suspek terbabit ditahan reman selama empat hari mulai semalam hingga Sabtu ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda.

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan, denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 2:24 PM