NAJIB diiringi pegawai Penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes saman SRC International atas dakwaan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan dana SRC RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
NAJIB diiringi pegawai Penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes saman SRC International atas dakwaan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan dana SRC RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak mempunyai kuasa mutlak untuk membuat semua keputusan membabitkan arahan, perniagaan, pentadbiran dan operasi syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn Bhd.

SRC adalah subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada mulanya dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), namun pada 25 September 2009 Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) mengambil alih TIA dan dinamakan sebagai 1MDB.

Bekas Pengarah SRC, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, kuasa mutlak Najib untuk membuat keputusan termasuk bagaimana dana SRC berjumlah RM4 bilion melalui pinjaman daripada kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan digunakan dan dikeluarkan.

Shahrol Azral yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB berkata, sebaliknya beliau tiada kuasa untuk menentukan arahan dan mengawal SRC atau membuat sebarang keputusan untuk syarikat terbabit.

Katanya, namun beliau diwajibkan di bawah undang-undang dan melalui amalan untuk mematuhi dan melaksanakan keputusan serta arahan Najib.

Shahrol Azral juga menafikan sebagai pengarah (ketika itu), beliau yang membuat keputusan untuk memohon pinjaman RM4 bilion daripada KWAP dan bagaimana ia dikeluarkan kemudian.

"Tidak. Semua keputusan penting yang membabitkan jumlah wang yang begitu besar iaitu pinjaman RM4 bilion daripada KWAP dibuat oleh defendan pertama (Najib).

"Sebagai seorang pengarah semata-mata dan hanya salah seorang daripada pengarah dalam lembaga pengarah, saya tidak ada kuasa membuat sebarang keputusan berkenaan pinjaman RM4 bilion daripada KWAP," katanya.

"Tambahan pula, KWAP badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007, dikehendaki melapor terus kepada Menteri Kewangan iaitu defendan pertama (Najib) dan beliau yang meluluskan atau menyebabkan untuk diluluskan, permohonan SRC bagipinjaman itu sama ada melalui diri sendiri atau arahannya kepada panel pelaburan KWAP," katanya.

Shahrol Azral berkata demikian melalui pernyataan saksinya dalam kes saman dikemukakan SRC terhadap Najib dan bekas CEO 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

Sementara itu, Shahrol Azral pula dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain, iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Ia memohon perisytiharan bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 4:53 PM