SAIFUDDIN ketika eepisod Keluar Sekejap. FOTO YouTube Keluar Sekejap
SAIFUDDIN ketika eepisod Keluar Sekejap. FOTO YouTube Keluar Sekejap
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kuala Lumpur: Kabinet bersetuju untuk memulakan proses meminda Akta Hasutan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, persetujuan itu diperoleh dua minggu lalu dan pindaan itu bukan ke arah mahu memperketatkan, sebaliknya kaedah bagi mengawal isu 3R.

"Matlamat kita adalah membantu kerajaan mengekang provokasi terhadap isu 3R (kaum, agama, raja).

"Pendirian kerajaan adalah Akta Hasutan harus digunakan terhadap kes provokasi membabitkan agama dan raja, bukannya untuk politik.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah memaklumkan jika serangan politik, kita lawan guna politik, tidak boleh digunakan dalam akta berkenaan," katanya menerusi episod Keluar Sekejap yang bersiaran semalam.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menceritakan pengalaman beliau bertemu dengan raja-raja yang memerintah sebelum ini.

"Pada pertemuan itu, antara persoalan yang ditimbulkan adakah negara kita tiada undang-undang apabila mereka yang menyerang terhadap institusi diraja tidak dihukum.

"Dulu, kecaman terbuka kepada institusi diraja tidak berlaku, namun kini hampir setiap hari boleh dikatakan berlaku. Kita tiada undang-undang ke? Itulah yang dipersoalkan," katanya.

Katanya, pandangan seperti itu mesti diberi pertimbangan sewajarnya memandangkan peranan raja termaktub dalam Perlembagaan.

Berkaitan 3R, sehingga kini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 170 jumlah kes dan sebanyak 87 sudah selesai dan tujuh kes pula sudah didakwa.

Sementara itu, Saifuddin turut memaklumkan, pihaknya sedang mengkaji cadangan untuk menambah baik Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Untuk SOSMA, sesi libat urus masih berjalan dan dalam kajian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 2:34 PM