MUSA
MUSA
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh melaksanakan tugas selain negara akan berdepan pelbagai masalah sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu menghapuskan undang-undang sedia ada termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan itu berkata, setiap negara perlu ada undang-undang untuk menjaga keselamatan negara.

“Jangan kita lupa, dulu kita hapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan jangan pisang berbuah dua kali...ini kerana banyak masalah akan timbul.

“Negara kaya macam mana pun tidak ada gunanya jika keselamatan tiada. Apa yang penting adalah keselamatan serta keamanan.

“Kebebasan memang kita ada dan sudah termaktub dalam perlembagaan, namun ia bukan bersifat mutlak dan ada had.

“Seseorang itu bebas bersuara namun tidak boleh membuat fitnah dan menghasut bagi mengelak berlaku pergaduhan,” katanya selepas majlis Sambutan Hari Integriti di sini, semalam.

Sambutan itu dirasmikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Pada masa sama, Musa turut mengingatkan pemimpin parti supaya memainkan peranan merapatkan masyarakat pelbagai kaum, bukannya menimbulkan kegusaran dan pergaduhan.

“Politik jangan berlebihan kerana ia akan mendatangkan kesusahan selain menimbulkan kegusaran.

“Orang politik sepatutnya menentukan keamanan dan keselamatan tidak tergugat,” katanya.

Sementara itu, Musa turut menasihatkan Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau yang mengeluarkan kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya mendakwa kejadian rusuhan di Kuil Sri Mariamman, Subang Jaya berpunca daripada serangan orang Islam.

“Saya tidak tahu fakta sebenar tetapi saya mahu nasihatkan beliau supaya tidak membuat provokasi kerana ia boleh menggugat keselamatan negara.

“Jika ada apa-apa, tampil buat laporan polis supaya pihak berkuasa boleh menyiasat dan mengambil tindakan, bukannya membuat tuduhan seperti itu kerana ia boleh menimbulkan kegawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 11:04 AM