YAHYA (tengah) ketika ditemui media pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di  Kuantan, hari ini. FOTO Asrol Awang
YAHYA (tengah) ketika ditemui media pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Kuantan, hari ini. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Polis masih menunggu siasatan dan laporan lengkap berhubung kes seorang pelajar lelaki kolej vokasional di Rompin cedera di belakang badan, punggung dan lengan kanan dipercayai akibat dirotan guru, Jumaat lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mangsa berusia 18 tahun dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan rekod perubatan diperlukan untuk melengkapkan siasatan.

Katanya, setakat ini, pihaknya sudah merakamkan tiga keterangan untuk siasatan.

"Mangsa sudah dihantar ke hospital dan kini hanya menunggu keputusan dan hasil siasatan lanjut mengenainya.

"Setakat ini, hanya satu laporan diterima berhubung kejadian itu. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan," katanya.

Yahaya berkata demikian ketika ditemui media selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Dewan Badminton Kompleks Logistik PDRM Alor Akar Kuantan, di sini hari ini.

Berdasarkan laporan, mangsa dikatakan dirotan lebih 10 kali selepas diarahkan berkumpul pada jam 7.45 pagi di kawasan perhimpunan bahagian bawah asrama kolej bersama beberapa pelajar lain.

Difahamkan, pelajar terbabit dihukum kerana tidak mengikuti solat tarawih bersama rakan.

Mangsa mendakwa dirotan guru yang juga warden di kolej berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 12:13 PM