ABDUL Karim. FOTO Bernama
ABDUL Karim. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat di dalam maklumat yang diperlukan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini berikutan timbul keraguan berhubung maklumat peribadi individu yang tidak sepatutnya didedahkan.

Menurutnya, ia bukan bermakna kerajaan Sarawak tidak menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan, tetapi sekadar meminta PADU diteliti semula.

"Ini membabitkan maklumat peribadi dan jika tiada keraguan sudah tentu kami akan menyokong PADU.

"Ada beberapa perkara penting yang kami mahu kementerian terbabit jelaskan dan mungkin butiran tertentu yang mereka tidak perlu minta," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, mendaftar dengan PADU ibarat 'menelanjangkan diri' apabila mendedahkan semua butiran peribadi individu termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan.

"Saya tidak fikir itu cara yang betul untuk rakyat. Kita semua mempunyai hak untuk menjaga privasi.

"Kita sudah ada sistem e-Kasih yang diadakan bagi mengenalpasti golongan miskin yang memerlukan bantuan, jadi apa keperluan adanya PADU pula?" katanya.

Menurutnya, PADU juga tidak harus dilaksanakan secara tergesa-gesa dan memaksa semua rakyat mendaftar.

"Jika PADU bertujuan membantu orang miskin, biarlah orang miskin mendaftar, bukannya mewajibkan semua orang mendaftar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 10:46 AM