Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kementerian Ekonomi akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak bagi membincangkan isu pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menterinya Rafizi Ramli berkata sedemikian susulan wujudnya arahan agar pendaftaran dan kemas kini PADU dalam kalangan pegawai serta kakitangan kerajaan negeri itu ditangguhkan.

Katanya, arahan penangguhan pendaftaran itu adalah untuk kerajaan Sarawak mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Ekonomi berdasarkan beberapa pandangan daripada Kabinet negeri itu.

"Sarawak adalah antara negeri yang paling tinggi pendaftaran jadi saya ingat ada beberapa pandangan daripada anggota Kabinet Sarawak yang menyebabkan arahan itu (penangguhan). Kita sudah menghubungi kerajaan Sarawak, dan minggu depan kita akan duduk bersama untuk berbincang.

"Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan pendaftaran PADU bagi penduduk yang mana pendaftaran boleh diteruskan melalui portal PADU seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Bersama Menteri Ekonomi berkaitan PADU di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan, Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat berkait maklumat peribadi yang diminta diisi dalam sistem PADU.

Dalam pada itu, Rafizi menafikan khabar angin bahawa subsidi petrol akan ditarik balik sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Tidak betul (subsidi petrol ditarik), kalau tarikh tutup (pendaftaran PADU) pada 31 Mac, mustahil akan ada sebarang keputusan mengenai subsidi petrol dan diesel kerana terlalu dekat.

"Kerajaan juga telah mengumumkan sebelum ini bahawa pelaksanaan subsidi bersasar akan berlangsung pada suku kedua ke atas kerana bila kita lihat garis masa , kita memang perlukan suku pertama kira-kira empat ke lima bulan pertama untuk menyelesaikan sistem sokongan untuk bantuan kepada orang ramai," katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan sebuah firma penyelidikan memberi jangkaan bahawa harga RON95 dan diesel akan melonjak dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 2:30 PM