PENDUDUK Serting Ilir menunjukkan plakad sudah mendaftar profil diri di laman sesawang Sistem Pangkalan Data Utama (PADU)di Pusat Komuniti Desa Serting Ilir, semalam. Pusat Komuniti Desa Serting Ilir adalah lokasi tumpuan bagi penduduk luar bandar terutamanya warga emas menggunakan internet serta mendapatkan maklumat terkini mengenai bantuan daripada kerajaan. FOTO Bernama
PENDUDUK Serting Ilir menunjukkan plakad sudah mendaftar profil diri di laman sesawang Sistem Pangkalan Data Utama (PADU)di Pusat Komuniti Desa Serting Ilir, semalam. Pusat Komuniti Desa Serting Ilir adalah lokasi tumpuan bagi penduduk luar bandar terutamanya warga emas menggunakan internet serta mendapatkan maklumat terkini mengenai bantuan daripada kerajaan. FOTO Bernama
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) oleh kerajaan bagi menjamin golongan M40 dan T20 tidak tercicir dalam pemberian subsidi dilihat masih belum mampu memberi keyakinan kepada golongan itu untuk berkongsi data yang diperlukan.

Bagi kakitangan swasta, Zuraini Zulkarnain, 44 berkata dia sendiri sudah mengisi beberapa maklumat penting ke dalam Padu, namun masih berasa risau mengenai keselamatan data peribadi yang harus dikongsi dalam sistem berkenaan.

Katanya, apabila membabitkan soal maklumat privasi yang tidak perlu didedahkan kepada pangkalan data, ia berisiko tinggi untuk disalah guna bagi tujuan lain.

"Pada saya sistem ini agak menyusahkan rakyat terutama golongan M40 seperti kami dan kenapa apabila hendak memberi bantuan banyak syarat yang dikenakan sedangkan kebanyakan M40 ini bekerja makan gaji dan membayar cukai.

"Sudah pasti maklumat kami yang lebih terperinci boleh didapati daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Ini berkaitan isu keselamatan, malah banyak maklumat yang tiada berkaitan perlu didedahkan termasuk nilai penerimaan pusaka, pendapatan faedah/hibah daripada simpanan, pendapatan dividen dan banyak lagi yang perlu diisi dalam Padu.

"Kenapa perlu menyusahkan golongan seperti kami, sudahlah bantuan selama ini M40 selalu tercicir tak dapat, bila nak isi maklumat pula semua maklumat peribadi perlu 'dilondehkan'," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, bagi Mustafa Mohamad, 47, dia masih mempertimbangkan untuk mengisi maklumat ke dalam Padu.

Menurutnya, langkah memperkenalkan Padu memang salah satu inisiatif yang bagus untuk memastikan tiada ketirisan dalam pemberian subsidi kepada rakyat, tetapi adakah dengan mengemas kini maklumat menjamin golongan M40 akan menerima bantuan terbabit.

"Sebelum ini, memang ramai M40 yang tidak layak menerima subsidi dan saya masih ragu dan khuatir dengan jaminan keselamatan maklumat peribadi kami.

"Jika kami kemas kini data apakah jaminan kerajaan maklumat kami tidak diberikan kepada pihak lain kerana Padu tidak tertakluk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

"Bagi saya masih banyak kelompangan dan ruang yang perlu ditambah baik untuk memberi keyakinan kepada kami golongan bekerja dalam kategori M40 ini," katanya.

Bermula 2 Januari 2024, semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat ke dalam Padu.

Salah satu kepentingan mendaftar Padu adalah memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem Padu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 5:11 PM