Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Data Selangkah dan Pangkalan Data Utama (PADU) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Data Selangkah dan Pangkalan Data Utama (PADU) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri menerusi aplikasi Selangkah bersedia melaksanakan proses semak silang dan mengemaskini data penduduk ke dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses itu membabitkan semua data yang dikumpul dan diperoleh daripada aplikasi milik Selangkah Ventures Sdn Bhd iaitu anak syarikat kerajaan negeri.

"Data ini merangkumi maklumat penerima skim bantuan daripada kerajaan negeri iaitu Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), Program Selangor Mental Sihat (Sihat), Program Saringan Kesihatan Percuma (Saring Selangor) dan Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja (MamaKerja). 

"Sehingga 3,712,616 maklumat atau data daripada 66,216 penerima skim subsidi dalam aplikasi Selangkah ini boleh dikongsikan dengan Padu, tertakluk kepada terma dan syarat penggunaan. 

"Kerajaan negeri percaya, selepas ini, lebih banyak data penerima bantuan di Selangor yang boleh dikongsikan dengan Padu dan secara tidak langsung akan membantu Kerajaan Pusat dalam pembentukan atau pelaksanaan dasar negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Data Selangkah dan Padu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili oleh Ketua Pegawai Informasi Selangkah Ventures Sdn Bhd Dr Helmi Zakariah, menandatangani MoU dengan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Amirudin menjelaskan, proses pemindahan dan semak semula silang data di antara aplikasi Selangkah dengan sistem Padu secara keseluruhan dijangka dilaksanakan pada 19 April depan.

Pada ucapan, beliau memberitahu, 1.89 juta penduduk Selangor yang berumur 18 tahun dan ke atas sudah berjaya mengemaskini maklumat dalam Padu, bersamaan dengan 44.5 peratus daripada jumlah yang disasarkan iaitu 4.24 juta orang.

"Kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Negeri Selangor bagi memastikan penduduk berumur 18 tahun dan ke atas mendaftar dan mengemaskini Padu," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, Selangor adalah negeri pertama yang melaksanakan MoU bagi inisiatif berkenaan manakala negeri lain menjalankan kerjasama kerajaan dengan kerajaan iaitu antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 11:44 AM