RAFIZI, gambar fail. FOTO Bernama
RAFIZI, gambar fail. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Ekonomi akan mengadakan satu sesi taklimat kepada wakil kerajaan Sarawak berkenaan isu keselamatan dan perlindungan bagi sistem Pangkalan Data Utama (Padu), dalam masa terdekat.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menerusi kenyataan hari ini berkata, kementerian komited dalam menjawab segala persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

"Saya ambil maklum kenyataan media Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri – Persekutuan) berkenaan pelaksanaan Padu di Sarawak.

"Kerajaan akan sentiasa memastikan pengendalian data yang selamat, termasuk keselamatan sistem, rangkaian dan data yang melindungi maklumat peribadi," katanya.

Menurut Rafizi, informasi yang berada dalam sistem Padu adalah maklumat rasmi kerajaan yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] dan tertakluk kepada semua arahan perlindungan keselamatan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

Oleh itu, beliau berkata, mana-mana perbuatan mengakses, memuat naik, memuat turun, meminda, menambah atau menyebarkan apa-apa data dalam Padu tanpa kebenaran ialah suatu kesalahan jenayah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara, denda, atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, selain Akta 88, data termasuk peralatan komputer juga dilindungi di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] yang secara amnya menyatakan bahawa apa-apa akses, penggunaan tanpa kebenaran terhadap mana-mana peranti, maklumat (data) atau sistem komputer ialah satu kesalahan.

Hal itu termasuk juga kepada mana-mana orang yang mengakses sistem atau menggunakan atau mendapatkan atau memuat naik atau memuat turun data tanpa kebenaran daripada sistem Padu, katanya.

Beliau berkata pasukan pembangunan sistem Padu sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi yang menguruskan keselamatan siber dan privasi data negara seperti CGSO, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia (CSM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Kementerian Komunikasi.

"Sehingga kini, tiada isu kebocoran maklumat dilaporkan walaupun terdapat dua hingga 2.3 juta kali cubaan serangan terhadap Padu dalam tempoh satu minggu.

"Pembangunan Padu juga mematuhi piawaian antarabangsa dan prinsip-prinsip amalan terbaik yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan terjamin," katanya dan menambah sistem Padu dibangunkan secara dalaman menggunakan kepakaran penjawat awam sedia ada tanpa membabitkan lantikan daripada perunding luar bagi mengurangkan risiko kebocoran maklumat.

Rafizi berkata, bagi memastikan integriti data dan kebocoran data tidak dilakukan oleh pegawai yang mempunyai akses kepada data, penilaian tahap integriti pegawai telah diambil kira melalui proses tapisan keselamatan oleh CGSO.

Beliau berkata, akses kepada data hanya dibenarkan kepada pegawai yang dilantik dan terhad kepada peranan masing-masing.

Setakat 11:59 malam semalam, bilangan pendaftaran meningkat kepada 7.7 juta, berbanding 5.4 juta yang direkodkan pada 17 Mac lepas.

"Saya memberikan jaminan bahawa dengan Padu, setiap rakyat akan menerima manfaat yang adil dan wajar melalui perancangan dan pelaksanaan dasar yang lebih baik dan berkesan berpandukan data," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat berkaitan maklumat peribadi yang diminta sistem Padu, kerana mendaftar dengan Padu ibarat "menelanjangkan diri" apabila mendedahkan semua butiran peribadi individu termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 6:28 PM