GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Bimbang keselamatan data dikongsikan dalam Pangkalan Data Utama (PADU) antara faktor rakyat enggan mendaftar seterusnya berkongsi maklumat peribadi di sistem berkenaan.

Itu pandangan penganalisis ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ketika diminta mengulas mengenai kewajaran PADU dan faktor segelintir pihak tidak mendaftar seperti yang disarankan kerajaan.

Menurut Azfanizam, kerajaan perlu memberi penerangan lebih jelas dan berterusan mengenai PADU jika mahu meningkatkan bilangan mereka yang mendaftar.

Beliau berkata, inisiatif itu perlu dan penting bagi memberi kefahaman kepada rakyat yang mungkin masih samar mengenai kepentingan PADU.

"Pendapat saya, mungkin ramai yang agak bimbang dari jaminan keselamatan data yang dikongsi.

"Justeru, pihak yang berkaitan perlu memberi penerangan terperinci supaya kebimbangan itu dapat diredakan dengan perkongsian maklumat yang tepat dan sahih.

"Kerajaan juga kena maklumkan kepada rakyat langkah yang diambil bagi mengatasi masalah itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah yang juga pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, inisiatif kerajaan mewujudkan PADU adalah wajar kerana tentunya mempunyai manfaat buat rakyat untuk jangka masa panjang.

"Tapi pelaksanaannya mungkin tidak menarik perhatian golongan M40 dan T20 kerana data yang diminta agak sensitif.

"Jadi mereka enggan mendaftar kerana khuatir berlaku kebocoran butiran peribadi sekiranya kongsi maklumat dalam PADU," katanya.

Terdahulu, kerajaan Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat di dalam maklumat yang diperlukan sistem PADU.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini.

Ia berikutan timbul keraguan berhubung maklumat peribadi individu yang tidak sepatutnya didedahkan.

Kerajaan bagaimanapun tidak mempunyai perancangan melanjutkan proses pendaftaran dan kemas kini sistem PADU yang akan berakhir pada 31 Mac depan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata, pihaknya perlu mematuhi jadual bagi membolehkan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 3:22 PM