Penerima RISE Educator of the Year 2023, Kumaresan menerangkan mengenai Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU kepada Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Dr Mohd Anuar Abdullah dan Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan bersama Pengetua SMPKV Merbok, Puan Rabthah. FOTO - Taylor’s College.
Penerima RISE Educator of the Year 2023, Kumaresan menerangkan mengenai Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU kepada Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Dr Mohd Anuar Abdullah dan Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan bersama Pengetua SMPKV Merbok, Puan Rabthah. FOTO - Taylor’s College.
Muhammad Najmir Razaman

Subang Jaya: RISE Educator Award kini kembali bagi menghargai dan mengiktiraf pencapaian cemerlang para pendidik negara yang banyak memberikan sokongan kepada pelajar dalam mencapai pendidikan berkualiti dan saksama. 

Berbeza dengan penganjuran sebelumnya, penerima RISE Educator Award tahun keempat ini akan menerima sejumlah RM20,000 bagi menyokong usaha mereka dalam mencipta persekitaran pendidikan yang positif di sekolah.

Pengarah Kampus Taylor's College, Josephine Tan berkata, singkatan RISE merujuk kepada Remarkable Impact in Student Education yang mencerminkan peranan penting pendidik dalam membentuk kehidupan pelajar dan mendorong pendidikan yang inklusif. 

"Taylor's College komited menyokong para pendidik yang bersemangat memberikan inspirasi dalam pembelajaran dengan meningkatkan sumbangan dalam RISE Educator Award."

"Kami berusaha memberdayakan para guru agar dapat menyebarkan misi mereka sekali gus mencipta impak positif di dalam bilik darjah dan menyumbang kepada komuniti," katanya.

Inspirasi buat para pendidik

Penerima RISE Educator of the Year 2023, Kumaresan Muniandy memanfaatkan dana dari Taylor's College untuk memperbaharui Pusat Latihan Rumah Tiruan (Mock House Training Centre) di sekolahnya dengan barangan keperluan rumah selain memperkasakan Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU dengan peralatan industri. 

Ia sejajar dengan matlamatnya dalam menyediakan peluang pekerjaan yang saksama bagi memastikan pelajar-pelajar berkeperluan khas dilatih dan diberdayakan untuk pasaran pekerjaan.

Penerima RISE Educator Award 2023, Velerie Wheelervon Primus pula memimpin projek 'Bilik Terapi Sensori Bersepadu dan Projek Snoezelen' yang memberi manfaat kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas dengan masalah autisme dan ADHD. 

Ia bertujuan memberikan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif untuk keselamatan dan kesejahteraan pelajar-pelajar tersebut.

Tambah Josephine, inisiatif-inisiatif yang memberi inspirasi ini mencerminkan dedikasi dan keprihatinan para pendidik dalam mencipta pengalaman yang bermakna buat pelajar.

"Melalui penganjuran RISE Educator Award, kami berharap agar naratif positif sebegini dapat menjadi sumber inspirasi bagi para pendidik di seluruh negara. Pada hakikatnya, di sebalik setiap pendidik yang bersemangat, terdapat kisah ketabahan, ketekunan dan komitmen untuk membentuk minda yang cemerlang." 

"Kami menggalakkan semua untuk turut serta dalam meraikan dan mengiktiraf usaha para pendidik dalam menyediakan pembelajaran yang berkesan," katanya.

Orang ramai boleh mula mencalonkan guru-guru dari pelbagai peringkat pendidikan, termasuk sekolah kebangsaan, swasta dan antarabangsa, prasekolah, sekolah rendah dan menengah yang menunjukkan kecemerlangan dalam komuniti sekolah mereka.

Bagi menyertai pencalonan ini, peserta hanya perlu menghantar karangan ringkas sepanjang 100 patah perkataan, menceritakan impak dan perubahan yang dibuat oleh guru tersebut dalam kehidupan pelajar.

Daripada pencalonan tersebut, sepuluh guru yang paling memberi impak akan disenaraikan dan kisah mereka akan dipaparkan di platform media sosial Taylor's College bagi mendapat undian orang ramai. 

Lima guru yang menerima undian tertinggi akan mara ke peringkat akhir yang mana undian tersebut menyumbang sebanyak 25 peratus kepada keputusan akhir.

Kisah-kisah mereka kemudiannya akan dinilai oleh panel juri, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Teach For Malaysia, Chan Soon Seng dan Kumaresan.

Panel juri akan menilai usaha dan impak sumbangan guru-guru tersebut yang mana ia membawa markah sebanyak 75 peratus bagi menentukan penerima RISE Educator Award 2024.

Selain daripada hadiah utama sebanyak RM20,000 untuk sekolah pemenang, penerima RISE Educator Award 2024 juga akan menerima wang tunai berjumlah RM5,000, manakala penama pula akan menerima wang tunai berjumlah RM500.

Empat finalis lain akan turut menerima dana tajaan sebanyak RM10,000 untuk sekolah mereka berserta wang tunai berjumlah RM1,000, manakala penama akan menerima RM250.

Pencalonan bagi RISE Educator Award 2024 akan mula dibuka pada 18 Mac 2024 hingga 17 April 2024. 

Kesepuluh kisah yang disenaraikan akan diumumkan pada 22 April 2024 bagi mendapatkan undian orang ramai. 

Untuk maklumat lanjut mengenai RISE Educator Award 2024 dan untuk menyertai pencalonan, sila layari pautan ini

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 12:21 PM