Faber-Castell telah bekerjasama dengan Ninja Van Malaysia sejak Februari 2022 bagi melancarkan proses penghantaran kit The Art Experience dan Score A kepada semua guru yang mengambil bahagian di beberapa buah negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Perak. - FOTO Ninja Van Malaysia
Faber-Castell telah bekerjasama dengan Ninja Van Malaysia sejak Februari 2022 bagi melancarkan proses penghantaran kit The Art Experience dan Score A kepada semua guru yang mengambil bahagian di beberapa buah negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Perak. - FOTO Ninja Van Malaysia
Mohammad Asyraf Khalib

SEIRING kepesatan arus pendidikan negara, guru bukan sahaja mahir dalam akademik, malah mereka juga cuba menguasai pelbagai teknik pengajaran baharu sebagai persediaan mendepani cabaran pembelajaran abad ke-21.

Kaedah pengajaran konvensional seperti teknik tulis dan ajar yang biasa digunakan dalam bilik darjah mula diberi nafas baharu dengan pengaplikasian strategi pengajaran kreatif bagi menarik minat pelajar.

Memahami keperluan itu, Faber-Castell Malaysia tampil memperkenalkan Program The Art Experience dan Program Pembelajaran Kreatif Score A bagi memberi pendedahan kepada lebih ramai guru di Malaysia mengenai strategi pengajaran alaf baru di sekolah. 

Menerusi program ini, guru yang terbabit dapat berkongsi pendapat dan bertukar pandangan serta mempelajari pelbagai teknik pengajaran kreatif dari pelbagai aspek termasuk pendidikan seni dan akademik.    

Faber-Castell juga menyediakan bahan bantu mengajar lebih komprehensif dikenali Kit Edisi Guru, yang mengandungi buku panduan untuk guru, peralatan mewarna and menulis dan pelbagai kelengkapan lain. 

Kit the Art Experience dan Score A ini dihantar kepada semua guru yang mengambil bahagian di beberapa buah negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Perak. 

Bagi memastikan kit sampai ke destinasi tepat waktu, Faber-Castell telah bekerjasama dengan Ninja Van Malaysia sejak Februari 2022 bagi melancarkan proses penghantaran kit berkenaan.

Menurut Faber-Castell, pemilihan Ninja Van Malaysia sebagai rakan penghantar rasmi bagi program ini adalah satu langkah tepat memandangkan Ninja Van Malaysia mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang serta dipercayai oleh ramai pengguna di Malaysia.

Kerjasama dengan Ninja Van Malaysia juga secara tidak langsung membuka peluang lebih besar kepada Faber-Castell untuk menyantuni guru yang mengajar di kawasan luar bandar sekali gus memastikan warga pendidik mendapat pendedahan sama.

Ninja Van adalah sebuah syarikat logistik ekspres berdaya teknologi yang menawarkan penyelesaian meliputi pelbagai sektor termasuk huluan dan hiliran. 

Sejak menerajui industri logistik, Ninja Van Malaysia komited memastikan semua pelanggan di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara menikmati pengalaman penghantaran yang lebih mudah dan lancar.

Antara inisiatif terbaharu yang menjadi tarikan ramai pengguna adalah Pek Ninja yang dibangunkan dengan teknologi penjejakan masa nyata Ninja Van. 

Menariknya, Pek Ninja disertakan kod imbasan QR, membolehkan semua maklumat pelanggan atau pengirim disimpan dalam sistem 'cloud' dan ia hanya boleh disemak melalui aplikasi pemacu atau sistem pengendalian Ninja Van sahaja.  

Paling penting, tiada sebarang butiran tertera pada setiap bungkusan barang menjadikannya lebih selamat dan terhindar daripada kegiatan penyelewengan.

Berdasarkan rekod, Ninja Van Malaysia kini mempunyai lebih 100 hub di Malaysia dengan jumlah pemandu lebih 2,600 orang. Jumlah ini dijangka bertambah secara mendadak apabila Ninja Van Malaysia terus mencatatkan perkembangan pesat di Malaysia. 

Sementara itu, Faber-Castell dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya menerima sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan yang turut serta membantu mempromosikan program ini kepada guru di seluruh negara. 

Sejak dilancarkan, program The Art Experience menerima sambutan menggalakkan daripada guru Malaysia dengan jumlah penyertaan setakat ini melebihi 3,498 orang daripada 2,945 buah sekolah, manakala program Score A disertai oleh 1,565 orang guru daripada 1,413 buah sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 4:35 PM