REMAJA dituduh membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hadir di mahkamah bersama ahli keluarga. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
REMAJA dituduh membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hadir di mahkamah bersama ahli keluarga. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 11 Mei untuk pendengaran rayuan lelaki yang disabitkan penjara selama tempoh diperkenan Yang di-Pertuan Agong atas tuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran pada 2017.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Mahkamah sama turut mendengar rayuan pihak pendakwaan atas keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini melepas dan membebaskan seorang lagi lelaki atas pertuduhan sama.

Ketika kejadian, kedua-kedua tertuduh berusia 16 tahun sekali gus tidak boleh dikenakan hukuman mati kerana pesalah di bawah umur 18 tahun.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Haijan Omar berhujah, Mahkamah Tinggi sebelum ini tersalah arah ketika menjatuhkan hukuman terbabit kerana wujud masalah hasil analisa kes itu.

"Alasan penghakiman (Mahkamah Tinggi) atas dasar apa? Keterangan saksi pendakwaan membuktikan ada satu keraguan munasabah berhubung dakwaan perayu (tertuduh) melompat masuk (panjat pagar) pusat tahfiz itu.

"Keterangan mengenai alibi (tertuduh) juga tidak langsung disiasat oleh pegawai penyiasat. Saya dengan rendah diri berhujah sabitan dikenakan itu tidak selamat dan mahkamah ada kuasa untuk melihat perkara ini serta membenarkan rayuan dibuat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berkata, saksi pendakwaan ke-68 dan ke-69 adalah saksi mata kepada kejadian lompat pagar itu.

"Saksi dapat mengecam perayu dengan melihat gaya dan pakaiannya. Ketika kejadian panjat itu, ada cahaya lampu jalan.

"Mahkamah Tinggi memutuskan pengecaman dibuat saksi terbabit adalah selamat dan diyakini," katanya.

Lelaki terbabit yang kini berusia 22 tahun merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020 yang memerintahkannya ditahan di penjara selama yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh.

Pihak pendakwaan memanggil seramai 71 saksi, manakala enam saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 30 Mei 2018.

Dalam kejadian menyayat hati pada 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang terbakar.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 97(2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 5:15 PM